Hasil kajian menyeluruh diketahui awal tahun depan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin tidak menolak kemungkinan kesan krisis ekonomi global antara penyebab meningkatnya jenayah di Malaysia tahun ini.
Namun, beliau berkata, ia bukan faktor utama.
“Saya tidak nafikan antara perilaku jenayah disumbangkan daripada tekanan ekonomi seperti kesempitan wang dan keperluan hidup, namun jenayah hanya berlaku apabila ada ruang dan peluang daripada kelalaian dan kecuaian individu.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau perkembangan senario global terutama kesannya kepada perlakuan jenayah dan kajian menyeluruh sedang dilakukan yang hanya diketahui keputusannya pada awal tahun depan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan indeks jenayah 1.75 peratus sehingga Oktober tahun ini masih rendah berbanding negara jiran dan menjadikan Malaysia masih selamat untuk didiami.
Mohd Bakri berkata, sehingga Oktober lalu, 177,141 kes jenayah dilaporkan berbanding 171,454 kes dalam tempoh sama tahun lalu, meningkat 5,687 kes.
Kes samun bersenjata api mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 14,143 kes daripada 3,691 kes tahun lalu kepada 17,834 kes tahun ini.
Turut meningkat ialah kes curi kenderaan, 2,534 kes daripada 10,290 kes tahun lalu dan pecah rumah malam meningkat sebanyak 2,732 kes daripada 19,299 pada 2007.
Kes bunuh turut menunjukkan peningkatan kepada 538 kes daripada 489 kes serta rogol yang meningkat kepada 2,943 kes daripada 2,710 kes tahun sebelumnya.
Walaupun berlaku peningkatan, belum sampai ke tahap membimbangkan, malah berbanding negara jiran, indeks jenayah kita masih rendah iaitu 772 kes daripada 100,000 penduduk,” katanya.
Bakri berkata, selain faktor keluarga, persekitaran, pendatang asing turut mempengaruhi karektor jenayah di negara ini sehingga menjadikannya trend.
“Mereka bawa karektor jenayah ganas di negara asal dan pelbagai cara dilakukan bagi menghapuskan bukti termasuk mencincang dan memotong mangsa,” katanya. -Bernama
Difailkan dalam: Uncategorized