• KENYATAAN QARADHAWI

    "Wahai saudaraku, Allah adalah Tuhan sekelian alam seluruhnya, Tuhan orang Islam dan Tuhan orang Kristian. Surah terakhir di dalam Al-Quran ada menyebut : ((Katakanlah! (wahai Muhammad) Aku berlindung dengan Tuhan sekelian manusia, Yang Menguasai sekelian manusia!))..bukan Tuhan orang Islam sahaja atau Tuhan Arab sahaja, atau Menguasai Arab sahaja ….) Kemudian beliau(Al-Qardhawi) bertanya: Oleh itu kenapakah perkara ini menimbulkan kemarahan wahai orang-orang (Islam) Malaysia? - Kata Qaradhawi di masjid Umar bin Al-Khattab, Doha pada 22 Jan 2010 - Kenyataan Qaradhawi

Jamaluddin Jarjis guna Harakah ‘balon’ PAS

Sesi Ucapan Perbahasan Bajet 2009
Dato’ Sri Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd Jarjis [Rompin]:
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan kesempatan untuk saya menyertai rakan-rakan yang lain dalam Dewan yang Mulia ini untuk perbahasan Bajet 2009.

Saya Yang Berhormat Rompin, tahniah kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan pada ketika itu telah membentangkan bajet yang amat prihatin kepada rakyat, sebagai contoh memperkenalkan satu konsep safety net, membela mereka yang tertinggal seperti kumpulankumpulan OKU.

Tuan Yang di-Pertua, dalam kita menguruskan ekonomi negara; confident dengan izin, pelabur sama ada dalam negara atau luar negara amat penting kita pupuk dan kita jaga. Kalau ini tidak sama kita usahakan termasuk rayuan saya kepada Yang Berhormat Wangsa Maju, kita tidak mungkin boleh mengemudikan satu kebangkitan pertumbuhan ekonomi negara kita. Kalau kita tidak boleh ada pertumbuhan, ekonomi tidak boleh dijana, peluang pekerjaan tidak boleh diwujudkan dan kebajikan warganegara kita sudah semestinya tidak dapat dibela.

Sudah tujuh bulan Tuan Yang di-Pertua PRU 12 ini. Nampak gayanya honeymoon sebelah sana termasuk Yang Berhormat Wangsa Maju panjang sedikit saya lihat. Telah sampai masanya mereka ini, jangan mandat yang diberi kepada mereka, mereka abaikan.

Sewajarnya marilah, saya mengajak, merayu kepada mereka berhentilah politik dan mulalah melaksanakan mandat yang diberi kepada mereka untuk membela pengundi-pengundi dan warga dalam kawasan mereka. Ini Yang Berhormat Wangsa Maju tidak payah, saya tahu dia bekerja gigih. Saya bagi masa kemudian sedikit. Tidak termasuk Yang Berhormat Wangsa Maju.

Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Apa…
Dato’ Sri Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd Jarjis [Rompin]: Yang Berhormat Wangsa Maju siang malam, kadang-kadang saya dengar cerita dia bekerja gigih kepada warga pengundi dia.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Ini tuduhan jahat.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Tidak mengapalah Yang Berhormat, duduklah Yang Berhormat.

Dato’ Sri Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd Jarjis [Rompin]: Tarikh 16 September telah datang dan pergi. Ini sudah pasti akan menggugat keyakinan. Kalau dahulu diadakan tarikh ini untuk menggugat keyakinan para pelabur dan rakyat. Kita sekarang kalau benar-benar kita mahu membela rakyat, kita sewajarnya kita terus ini. Oleh itu janganlah kita asyik hendak menggulingkan kerajaan, hendak buat rakyat benci kerajaan.

Kita harus bermula melaksanakan mandat yang diberi kepada kita untuk benar-benar membela rakyat. Tuan Yang di-Pertua, sebelum PRU 12, kita dengar laungan yang sebelah sana kiat mesti bela kebebasan akhbar, jamin kebebasan berblog. Inilah tujuan mereka tetapi sekarang ini sudah lain suara dan nadanya. Sebagai contoh saya amat terkejut rakan baik saya Yang Berhormat Seputeh dahululah.

Dia sendiri yang mula semalam dalam akhbar buat contoh boikot Utusan Malaysia, bukan itu sahaja hendak saman RM30 juta. Saya dengar cerita pula penulis kawannya sendiri hendak saman RM100 juta. Saya malas sebut Yang Berhormat Jelutong, sebab Yang Berhormat Jelutong kawan lama tetapi anak dia pun garang macam dia juga nanti.

Tuan Gobind Singh Deo [Puchong]: Bukan Jelutong tetapi Bukit Gelugor sekarang. Itu pun tidak tahukah, apa ini.

Dato’ Sri Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd Jarjis [Rompin]: Minta maaf. Saya sudah lama apabila teringat dia Jelutong. Minta maaf, saya ini sudah lama berpenggal, nampak janggut dia Jelutong. Saya minta maaf, Yang Berhormat Bukit Gelugor. Sebab apabila nampak janggut saya, Rompin dia kata. Namun, janggut anak dia itu muda dan masih lagi diurus dengan baiklah.

Macam Yang Berhormat Bukit Gelugor sendiri. Sudahlah akbar Utusan minta maaf in good faith, dia saman pula RM100 juta. Ini apakah yang dikatakan keadilan yang dilaungkan oleh sebelah sana. Apa ini kebebasan akhbar yang dilaungkan dahulu, apa ini kebebasan berblog, sudah berubah. Sebelum pilihan raya nadanya lain dan selepas pilihan raya nadanya lain, biasalah pembangkang.

Alhamdulillah Tuan Yang di-Pertua, keyakinan rakyat Malaysia ini ke arah pemulihan dan mereka amat berbangga sekali dalam UMNO rakyat Malaysia dapat menguruskan peralihan kuasa dengan amat baik sekali. Rata-rata rakyat Malaysia Tuan Yang di-Pertua merasa lega apabila peralihan kuasa UMNO berjalan dengan baik dan memberi satu harapan baru untuk mereka bahawa kita boleh membuat satu anjakan, satu perubahan untuk memajukan Negara kita.

Juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana berjiwa dan berhati besar serta meletakkan parti, kepentingan orang ramai dan Negara lebih daripada kepentingan yang lain. Inilah wisdom pimpinan UMNO, inilah kekuatan hakiki UMNO.

Tuan Yang di-Pertua, yang tidak boleh menerima hanyalah sebelah sana terutama PKR dan DAP. Saya sebut perkataan PKR dan DAP, saya tidak sebut PAS. Saya ulas mengapa tidak. Ini kerana mereka ini ada dua parti sahaja dalam denial syndrome ini. Yang Berhormat Permatang Pauh bimbang peralihan kuasa akan berjalan dengan baik dan mengikut jadual.

Dalam tiga minggu lagi master yang pertama akan menjadi kenyataan apabila Yang Berhormat
Pekan menjadi calon tunggal Presiden UMNO. Ini semestinya menghantui sebelah sana, kerana apa? Ini kerana igauan meraih politik impian sebelah sana maka pada hari itu nanti akan terkubur. Sebab itulah kita tidak terkejut ucapan Yang Berhormat Permatang Pauh selama enam jam dibantu oleh Yang Berhormat Ipoh Timur.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Lima jam lapan minit Yang Berhormat. Saya memperbetulkan.

Dato’ Sri Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd Jarjis [Rompin]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Lima jam lapan minit terima kasih, tetapi bukanlah satu jam. Ucapan itu nampak tertumpu kepada Yang Berhormat Pekan, bukan kepada ketua kerajaan. Yang Berhormat Ipoh Timur ini memang handal. Impian beliau seumur hayat hendak menggulingkan Barisan Nasional, sekarang ini mempunyai teman dan penggerak baru iaitu Yang Berhormat Permatang Pauh.

Akan tetapi laungan Yang Berhormat Ipoh Timur ini dia takut korupsi, kronisme tetapi perkataan nepotisme sudah tidak ada, sudah gugur. Kalau baca teks-teks Yang Berhormat Ipoh Timur dahulu, nepotisme itulah yang disebut. Akan tetapi nepotisme itu hilang kerana apa Yang Berhormat Ipoh Timur tidak lagi menyebut nepotisme; kerana anak dia menjadi ketua menteri.

Sebab itu Yang Berhormat Wangsa Maju dibuang, betul. Banyak lagi sekarang ini Ahli DAP dibuang pergi ke PKR kerana Yang Berhormat Ipoh Timur dia gerakkan semacam kuku besi. Tokoh-tokoh yang moden, yang baik, yang cemerlang, warga Malaysia seperti Yang Berhormat Wangsa Maju pun diketepikannya. Betul. Sebab Yang Berhormat Wangsa Maju ini sementara sahajalah Yang Berhormat Wangsa Maju di PKR.

Sebelah sini boleh, GERAKAN pun boleh, buat parti baru pun boleh sebab orang macam beliau yang baik ini patut kita terus bagi tempat di Dewan yang mulia ini, beri sumbangan kepada rakyat dan Malaysia.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: [Bangun]
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: [Bangun]
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Bangun]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Rompin, ada tiga sekali berdiri.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya bagi tiga sekali, satu, dua, tiga.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Okey, tapi Yang Berhormat beri banyak-banyak itu masa tak tambah Yang Berhormat.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Tapi saya bagi hanya 20 saat, 20 saat, 20 saat.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ringkaskan ya Yang Berhormat Wangsa Maju ya, 20 saat tu singkat saja.

Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga terima kasih kepada Yang Berhormat Rompin. Saya rasa perkara yang disebutkan oleh Yang Berhormat Rompin ini bukan perkara dia, bukan soal dibuang atau apa, ini soal dalaman parti orang lain. Di dalam Barisan Nasional pun pelbagai masalah. Kita boleh nampak sekarang ini dalam pemilihan ini bermacam-macam tuduhan dikeluarkan.

Ada orang juga disingkir seperti Tan Sri Md Isa, sama juga tapi apa yang pentingnya, Yang Berhormat Rompin mesti faham bahawa ekonomi negara kita sekarang merosot dan kita membeli helikopter daripada Eurocopter ini dan yang saya tahunya komisennya adalah 86 juta Euro..

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Dah habis 20 saat.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: ….kepada orang-orang tertentu.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Dah habis 20 saat dah.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Sila jawab itu.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih Yang Berhormat daripada Rompin. Sebagai seorang Ahli Parlimen yang berpengalaman, saya rasa dah empat lima penggal dalam Parlimen. Saya nak tanya, tadi saya tertarik dengan apa yang disebut tentang perubahan kuasa yang diuar-uarkan oleh Pembangkang. Saya nak tanya once and for all supaya dapat kita rekodkan dalam Dewan yang mulia ini.

Apakah sebab dan asas yang dapat memberi keyakinan kepada Ketua Pembangkang pada satu ketika dahulu yang memberi keyakinan bahawa beliau boleh berjaya menubuhkan kerajaan pada 16 September kerana rakyat di kawasan saya semua tanya saya pasal benda yang sama dan akhirnya perkara itu tidak jadi.

Tidak jadi pada 16 September, tidak jadi pada 13 Oktober dan katanya ada tarikh baru pula. Saya nak tanya pendapat Yang Berhormat daripada Rompin, apakah sebabnya. Adakah ini satu fatamorgana, adakah ini satu pembohongan yang besar, adakah ini satu mitos ataupun adakah pemikiran beliau sudah tidak begitu waras lagi. Terima kasih.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Terima kasih. Tentang apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Wangsa Maju, saya akan sentuh kemudian tentang helikopter. Apa yang dikatakan rakan saya di belakang, Yang Berhormat Rembau tadi saya akan ulas selepas ini lagi, terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua, saya mengatakan tadi yang berani cakap menghentam dan mengkritik Perdana Menteri ada satu dua saja sebab itu ada arahan mungkin tumpuan itu hanya kepada Yang Berhormat Pekan supaya mewujudkan satu suasana orang ramai tidak yakin kepada bakal Presiden dan Perdana Menteri kita akan datang. Ini saya nampak tumpuan yang kita nampak kalau dalam lima jam lebih ucapan Ketua Pembangkang.

Tuan Yang di-Pertua, rakyat Malaysia amat prihatin serta bijaksana menilai ini semua sama ada dalam perbahasan bajet dalam Pembangkang. Ada juga yang baik tapi ada juga yang tumpuan pada politik dan ada juga dalam kaedah-kaedah yang lain, dunia siber. Adalah tumpuan selepas pilihan raya yang kedua terus menghakiskan keyakinan rakyat kepada kerajaan. Dunia siber sebagai contoh, begitu juga dan juga keyakinan yang peralihan kuasa akan berjalan dengan baik. Terakhir dalam Malaysia Kini kononnya Yang Berhormat Pekan ada manifesto. Dah kita tahu dah baru nak minta maaf. Dalam perbahasan bajet ini tumpuannya hanya tiga isu, pembelian Bank Indonesia, helikopter dan…

Semuanya tumpuan kepada yang di bawah Yang Berhormat Pekan. Tak ada langsung kerana dia dah nampak dah alih tumpuan oleh Pembangkang. Tuan Yang di-Pertua, pembelian bank mungkin akan dijawab oleh kerajaan nanti tapi saya difahamkan pembelian mengikut tender. Tentang helikopter, saya mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan, beliau mencadangkan dan Kabinet bersetuju akan dibincangkan dalam PAC. Tunggulah PAC, wakil kita ada semua dalam PAC. Kemudian jalur lebar.

Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: [Bangun]
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya habis dulu, saya bagi lepas ini. Kemudian jalur lebar yang sebenarnya, ini semua juga diputar belitkan kenyataan Tuan Yang di-Pertua, kerajaan bukan bagi projek RM11.3 bilion kepada Telekom, tidak. Ini kadangkadang dia lupa dah masa dia di Kementerian Kewangan, bila dia di belah sana dia lupa dah apa
yang dia tahu.

Yang sebenarnya diberi hak kepada Telekom untuk membina satu rangkaian jalur lebar, bukan diberi kontrak. Tetapi oleh keranalah dia punya return of investment dengan izin, memakan masa yang panjang, risiko yang tinggi, kerajaan memberi hanya subsidi RM2.4 bilion untuk mengurangkan risiko, itu sahaja. Kontrak belum diputuskan lagi, Telekom sewajarnya sebagai GLC kerajaan perlu rujuk, ada peraturan-peraturan perolehannya dan yang besar saya sungguh yakin akan rujuk kepada Kementerian Kewangan.

Yang Berhormat Permatang Pauh takkan dia tak tahu, dia di sana dahulu. Sebab itu saya nampak bahawa ini semuanya politik sahaja lepas itu saya nak kembali kepada soalan Yang Berhormat Rembau, 16 September datang dan pergi seperti Yang Berhormat Rembau kata tadi mungkin ada tarikh baru tapi yang sesuai mengapa tidak dilupakan tarikh-tarikh, tunggu 2012.

Yang sekarang ini patut tumpu kepada kerja kita untuk membela rakyat tetapi saya dapati banyak pemerhati politik tempatan mengatakan mengapa ia gagal. Ia gagal hanya dua parti saja menyokong, PKR dan DAP. PAS orang kata 50-50. DAP memanglah, sepanjang hayat hidup Yang Berhormat Ipoh Timur memang nak jatuhkan BN seperti ….. jatuhkan Perikatan. PKR kita tahulah mengapa, ada juga orang dalam dunia siber mengatakan itu juga merupakan impian sehayat beliau.

Saya baca petikan dalam internet tapi dia buat silap sikit masa dalam Barisan Nasional, itulah terpelanting ke sebelah sini. Ha itu saya tengah baca dalam internet, petang-petang, malam-malam baca internet.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin bangkitkan di sini Yang Berhormat Permatang Pauh ….
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ringkas, ringkas. Soal saja Yang Berhormat. Ringkas, ringkas.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Ya, Yang Berhormat Permatang Pauh apabila Perdana Menteri membentangkan bajet, dia mengatakan Perdana Menteri gementar. Maka yang menjadi persoalan sekarang ini, apakah sebenarnya Pembangkang yang menjadi gementar sebab itulah mereka menujukan segala tekanan, tuduhan kepada Yang Berhormat Pekan dalam beberapa banyak isu dan hari ini mereka tinggal tujuh orang saja di dalam Dewan ini.

Kononnya untuk membentangkan bajet alternatif tapi tujuh orang ini tak berminat. Jadi, saya fikir mereka akan gementar dan sepatutnya kalau nak bentang pun bajet alternatif, janganlah pilih waktu perbahasan. Ini nampak mereka tidak serius, ini menunjukkan mereka sebenarnya gementar. Patut carilah hari lain kalau nak membentangkan bajet alternatif.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Terima kasih. Kalau nak bentang, bentang dalam Dewanlah. Bentang luar Dewan buat apa. Setuju pandangan Yang Berhormat Batu Pahat.
Tuan Haji Ahmad Kassim [Kuala Kedah]: Yang Berhormat Rompin.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya nak habiskan sikit lepas itu saya bagi Yang Berhormat.
Tuan Haji Ahmad Kassim [Kuala Kedah]: Yang sama, yang sama.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya nak habis dulu sebab saya nak jaga juga masa saya, lepas itu saya bagi kepada Yang Berhormat Kuala Kedah. Insya-Allah saya janji saya bagi. Saya ini tak tahu Yang Berhormat Kuala Kedah PKR ke PAS?
Tuan Haji Ahmad Kassim [Kuala Kedah]: PKR.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Ha? PKR? Atau dipinjamkan daripada PAS ke PKR? [Ketawa] Pihak PAS Tuan Yang di-Pertua, dia ada dua group, dua kumpulan.
Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai]: Hai cakap pasal BN sudahlah, pasal PAS pasal apa?

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Apa pula ini? Hak sayalah. Bagi Yang Berhormat bangun, Yang Berhormat cakaplah. Kita ini ada hak kita masing-masing sebab saya dalam Rompin, saya ada wakil PAS. Banyak PAS sokong saya. Sebab itu saya nak bercakap pasal pihak dia ini. Kebimbangan pengundi-pengundi saya, PAS Rompin. Itu saya nak bercakap sikit. PAS bimbang kerana Tuan Yang di-Pertua, PAS ada dua group. Separuh sokong separuh tidak, mengapa? Pihak Adogan, ha ini betul ke saya kata Adogan ini? Adogen ke Adogan? PAS yang diketuai oleh kawan dulu pun Ahli Parlimen ….., nama ini diambil pimpinan Taib Adogan daripada Turki, menyokong kuat agenda PKR. Puak ini entah macam mana pandaipandai pujuk Ustaz Nik Aziz dia bagi simbol ketua mereka tapi satu lagi puak tulen PAS, satu pihak Adogan tak tulen, ala Turki. Yang pihak yang tulen ini yang diketuai Mustapha tidak
bersetuju.

Saya nak tunjuk surat khabar. Ini bukan surat khabar UMNO ini, Harakah. “September 16 gagal”. Mustapha kata, bukan pemimpin UMNO. Saya baca Harakah. Sekarang kita bagi Harakah tak macam dulu. Kita hormati kebebasan berakhbar, kita bagi. Saya baca. Ini bukan Utusan Malaysia ke BERNAMA.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Menyampuk] Takkan Harakah bohong.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Ha, bukan Harakah bohong. Kalau dia UMNO dia bohonglah tapi dia tak bohong.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Bangun]
Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai]: [Bangun]
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Duduklah dulu, duduk dululah. Pihak tulen PAS yang diketuai Mustapha ini tak bersetuju.

Puak ini disokong dan simbolnya Presiden PAS. Sehingga PAS kata bahawa 16 September ini ‘angan-angan Mat Jenin’. Ini bukan kenyataan pemimpin UMNO.

Tuan Mohd. Firdaus Ja’afar [Jerai]: Yang Berhormat Rompin, minta laluan.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Nantilah dulu, saya tidak habis lagi. Nanti saya habis saya bagilah. Tunggulah dulu.
Tuan Mohd. Firdaus Ja’afar [Jerai]: Bagilah sekali. Sikit saja.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Tunggulah dulu. Habiskan dulu baru saya bagi.
Tuan Mohd. Firdaus Ja’afar [Jerai]: Sikit saja.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Ini hak saya. Duduk dulu.
Tuan Mohd. Firdaus Ja’afar [Jerai]: Betullah. Hendak sokong. Hendak sokong.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Apa ini. Saya hendak habiskan dulu, nanti saya bagilah.
Tuan Mohd. Firdaus Ja’afar [Jerai]: Tuan Yang di-Pertua, bolehkah? Saya hendak sokong Yang Berhormat Rompin.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Lailahaillallahlah Muhammadur Rasulullah.
Tuan Mohd. Firdaus Ja’afar [Jerai]: Minta sikit. Laluan.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Astaghfirullahlahal azim! Hendak saya bacakan hadiskah supaya ikut… Nanti saya habiskan dulu.

Pihak tulen PAS yang diketuai Mustapha Ali tidak bersetuju. Ini buat statement 16, yang tidak bersetuju sehingga beliau kata, Datuk Haji Hadi ke …ketua PAS kata, “Ini angan-angan Mat Jenin”. Kerana apa? PAS tidak boleh menerima PKR dalam Pakatan kerana perbezaan pendapat isu negara Islam dan sekular ini antara ‘ayah’ ini… Apa ini, bukan Jelutong… Gelugur. Bukit Gelugur berentap ini.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Bangun]
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Dia ini, Shah Alam tidak tahulah. Ini bukan kumpulan tulen ini, kumpulan adogan ini. Walhal Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan yang mulia sekalian, ini bukan saya kata, ini Yang Berhormat Marang mengulangi mengatakan bahawa. Ini Hadi mengatakan … Nanti salah sebut marah dia pula. Yang Berhormat Marang kata dia tidak pernah mengiktiraf Permatang Pauh sebagai calon Perdana Menteri, betul atau tidak? Betul! Ini PAS, surat khabar Harakah. Takkanlah bohong! Dia mungkin bohong tentang UMNO tetapi takkan bohong tentang PAS. Yang itu yang saya hendak jawab tadi. [Memandangkan ke arah Yang Berhormat Rembau
]
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat, pandang ke sini Yang Berhormat.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Tak tahu nama. Frame besar tidak ada. [Disampuk] Rembau. Ini bagi menjawab Yang Berhormat Rembau mengapa September 16 itu gagal. Tuan Yang di-Pertua…

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Menyampuk]
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Sikit. Sikit. Saya hendak berikan yang di belakang dulu. Saya hendak tentukan tajuk, nanti saya bagi balik. Asas perbalahan ini bermula daripada pengagihan kerusi, ada sejarahnya. Asas perbalahan bermula daripada pengagihan kerusi antara PAS dan PKR di mana banyak berbahasan antara Mustapha tidak bersetuju dengan PKR. Saya baca ini di dalam internet. Dia kata walhal ada juga calon PKR dia pinjam daripada PAS. Kerusi itu PAS tidak bersetuju, PAS hendak dan PKR pun hendak. Okey, engkau ambil tetapi ambil calon aku.

Ini saya difahamkan Yang Berhormat Machang ahli PAS tetapi bertanding di bawah PKR, betul atau tidak? Ha, tidak berani kata tidak betul! Yang Berhormat Baling tok Imam dahulu, mesti dia tidak berani bangun sebab perkara betul.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Sudah beri laluan ke?
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya bagi Yang Berhormat Padang Terap.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Sudah beri laluan ke? Hendak jawab.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Tidak saya bagi Yang Berhormat Jerai sebab Yang Berhormat Jerai minta dulu.

Tuan Mohd. Firdaus Ja’afar [Jerai]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Rompin bercakap berkaitan dengan rumah orang lain. Yang Berhormat Rompin tidak faham. Kita tengok pelan di luar sahaja. Yang Berhormat Rompin masuk PASlah, insya-Allah. [Ketawa]

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Terima kasihlah. Sekurang-kurangnya ada bagi insurans politik kepada saya. [Ketawa]
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Mohon laluan.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya hendak habiskan sikit lepas itu saya jemput Batu Pahat dan selepas itu saya bagi Yang Berhormat Shah Alam. Sudah hendak habis pun.

Sebab itulah yang gagal ini kerana yang di sini berpecah dan juga satu lagi Presiden PAS sendiri Yang Berhormat Marang, dia kata, dianggapkan pembelian yang ura-ura PKR hendak beli Ahli Parlimen Barisan Nasional itu merupakan rasuah politik. Bukan kata-kata, dia yang kata. Baca surat khabar – rasuah politik.

Oleh sebab itulah Ahli-ahli Dewan yang mulia yang saya hormati sekalian kalau benar Dewan ini hendak menghapuskan rasuah janganlah kita ada konsep rasuah terpilih pula. Rasuah projek, okey kita pergi. Rasuah wang boleh kita pergi. Rasuah jawatan okey. Rasuah politik jangan. Baru-baru ini baca dalam internet pula rasuah yang satu lagi itu. Saya tidak mahu sebutlah, kes Exco PKR itu. Rasuah apa? Saya malas sebutlah, tidak berani sebut. Rasuah apa? [Disampuk] Hai, jangan, jangan, tidak berani cakap. Nanti tuduh saya menggunakan perkataan yang tidak mulia pula. Ha, inilah yang sebenarnya. Oleh itu saya jemput Yang Berhormat Batu Pahat.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Soal rasuah ini sebenarnya yang kita ingin bahaskan di sini ialah bukan soal kita hendak campur rumah orang ataupun tidak, tetapi isunya 16 September ini sudah menjadi satu isu rasuah politik yang dijanjikan sehingga Yang Berhormat Permatang Pauh menang di Permatang Pauh.

Persoalan yang timbul di sini masalahnya ialah PAS tidak menyokong sebab mereka takut jawatan Timbalan Perdana Menteri itu tidak dapat kepada PAS, takut jatuh kepada DAP. Oleh sebab itulah sebenarnya mereka tidak menyokong pembentukan kerajaan secara pintu belakang ini.

Jadi, oleh kerana itu saya merasakan bahawa 16 September ini tidak akan berjaya dilaksanakan dan hanya menjadi satu impian sahaja. Bagaimana pandangan Yang Berhormat Rompin?

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya bersetuju dengan pandangan itu. Kalau kita hendak siasat rasuah sebagai rumusan saya petang ini, siasat BPR, penguat kuasa kita dan siasat juga kes-kes rasuah politik ini dalam UMNO itu kita terima.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Bangun]
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Tuan Yang di-Pertua, saya akan berikan Yang Berhormat Shah Alam selepas ini. Saya hendak masuk sedikit dalam isu yang kedua. Saya janji saya bagi.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Masa Yang Berhormat tinggal lima minit lagi.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Janganlah saya banyak lagi ini.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Lima minit, Yang Berhormat. Saya hendak beri peluang kepada orang lain.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Saya hendak bawa sedikit isu perbelanjaan. Itu keyakinan rakyat. Di sebelah sana mengatakan bahawa kita tangguh bajet kita. Apa kesannya kalau kita tangguh? Hendak tunjuk sama ada cadangan itu bertanggungjawab atau tidak. Dalam bajet ada dua komponen iaitu pendapatan dan perbelanjaan. Kalau kita tangguh bajet perbahasan tidak sempat pergi ke Dewan Negara bermakna 1 Januari tidak lulus bajet, gaji tidak boleh dibayar. Gaji tidak boleh dibayar kepada 1 juta pegawai kerajaan dan kita tidak akan dibayar gaji, hutang kerajaan tertunggak, keyakinan sistem kewangan akan terancam, subsidi tidak dibayar. Kalau dibayar orang terpaksa beli minyak pada harga yang komersial. Ini yang tidak sepatutnya kalau kita bertanggungjawablah tetapi itu kita tahu selepas pilihan raya memakan masa …

Sistem kewangan kita baik, bank kita baik, CAR kita rendah, NPL kita rendah dan barubaru ini kita terdedah kepada CDS (Collateral Debt Securities) ini. Mungkin Yang Berhormat Bandar Kuching tahu. Kita sepatutnya tahniah kepada kerajaan kerana sistem kewangan kita baik dan sepatutnya beri penghargaan kepada kerajaan, penghargaan kepada Tan Sri Zeti Governor kita.

Strategi kita untuk menyelamatkan institusi kewangan negara kita dulu adalah cara kita. Apa yang kita buat dahulu beli toxic loan, bad loan, kita credit capitalized bank strong government intervention inilah kaedah yang juga dibuat di Amerika. Ini bermakna ala kita, ala Malaysia tetapi kita tahu pada ketika itu siapa yang ‘bergodong’ dengan Amerika ini? Pada ketika itu gergasi Asia siapa yang berkawan dan ‘bergodong’ dengan IMF? Tidak perlu kita ulas, masa saya tidak ada. Kita tahu semua siapa beliau itu sekarang kembali kepada Dewan Rakyat.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Bangun]
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Selepas ini saya akan bagi. Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh sedikit bahawa saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan yang baru. Walaupun kita, alhamdulillah selamat daripada sistem kewangan yang merudum di Amerika namun kita tahu, kita mengucapkan tahniah kepada Menteri Kewangan yang baru mengatakan bahawa kita sedar ekonomi kita yang hakiki kita mungkin terjejas.

Untuk itu beliau telah mengumumkan baru-baru ini RM5 bilion untuk membantu menyelamatkan syarikat-syarikat strategik di negara kita seperti Sistem Telekomunikasi dan Tenaga, dan lain-lain. Kita mengucapkan syabas kepada kerajaan dan beliau sendiri akan mengemukakan satu kaedah untuk memastikan kita terus pastikan ada usaha dan strategi untuk mengembangkan pertumbuhan ekonomi negara. Syabas kepada Menteri Kewangan.

Antaranya saya juga dapat melihat pandangan-pandangan analisa ekonomi negara kita. Mengapa tidak kita juga rangsang perkhidmatan kita seperti tingkatkan penjualan mega sale, cuba merangsang pelancongan tempatan, wujudkan kaedah supaya penjualan rumah low cost dan medium cost dan teruskan projek-projek yang boleh ada multifire effect yang tinggi.

Begitu juga mengapa tidak kita tumpukan juga kepada sesuatu ekonomi yang berasaskan ilmu. Negara tidak boleh bergantung lagi kepada ekonomi berasaskan kepada upah yang murah. Sewajarnya kita tumpu kepada ekonomi-ekonomi baru seperti IT, siber dan lain-lain.

Saya tertarik dalam Times Magazines, dia sedang mengkaji balik tentang Akta Bankrapsi. Ramai pengusaha kita agak gelisah kalau ada yang kena bankrap itu. Nampaknya akta bankrap kita ini sudah lama, 50-an hingga ke 60-an banyak mirip kepada bank. Ia amat tidak adil kepada peminjam-peminjam. Mengapa tidak kita kaji balik juga semula Bankruptcy Act dalam suasana untuk membantu usahawan-usahawan kita.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh sedikit sahaja dari segi Tenaga Nasional. Kita risau juga dalam keadaan begini, dari segi kedudukan Tenaga Nasional sendiri. Saya sendiri pernah menjadi pengerusi Tuan Yang di-Pertua, jadi dapat saya menyentuh sedikit. Sampai masanya kita kena kaji kembali sistem struktur Tenaga Nasional itu sendiri. Ini kerana kita nampak sistem yang ada ini seperti 50 tahun dahulu. Mengapa tidak kita asingkan penjanaannya? Penjanaannya wajar dikekalkan kepada Tenaga Nasional tetapi system penghantarannya biar diuruskan oleh kerajaan.

Sistem pengagihannya bolehlah kita bahagikan kepada pihak swasta. Saya bersetuju juga dengan apa yang dihujahkan oleh pembangkang. IPP kita perlu tengok baliklah. Kalau dahulu kita bagi PPA, sebab sudah wajarnya IPP yang baru ini kita bagi PPA. Akan tetapi apa yang penting, kita bagi hak IPP ini menjual tenaganya terus kepada pengguna.

Untuk itu mengapa tidak sistem pembahagian iaitu distribution system itu kita boleh jual kepada swasta dan swasta janakan tenaga, dia jual sendiri dan Tenaga Nasional dapat wang bila jualkan aset pengagihan itu supaya kurangkan beban. Mengapa tidak? Untuk itu, mengapa tidak timbang banyak IPP ini yang mana umurnya sudah hendak habis, konsesinya sudah habis.

Mengapa tidak kita lanjutkan mereka supaya boleh beroperasi sebagai IPP tetapi jangan bagi PPA. Bagi dia menjual terus kepada pengguna-pengguna maka tidak ada risiko kepada kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua, sedikit satu lagi kita tidak boleh elak juga daripada penjanaan menggunakan arang batu iaitu 60% Tenaga Nasional. Akan tetapi mengapa tidak saya sarankan kepada Yang Berhormat Menteri Tenaga bekerjasama dengan Kerajaan Indonesia banyak the mine field, arang batu ataupun lombong arang batu di Sumatera. Janakan tenaga di mine mouth itu dan hantar ke Malaysia kerana jaraknya 30 kilometer.

Saya bimbang sedikit dalam hidro ini yang kita hendak bawa 800 kilometer kepada Bakun. Ia adalah baik, tetapi setakat ini, hanya yang paling tinggi jauh ialah 100 kilometer. Ditakuti isu–isu teknikal ini mungkin akan menghantui kita seperti risiko gempa bumi dan lain-lain.

Saya nampak, sebelum kerajaan teruskan lebih baik kaji balik perkara ini sebab perbelanjaannya amat besar sekali dan juga impak kepada alam semula jadi.

Yang terakhir Tuan Yang di-Pertua, saya hendak bercakap sedikit tentang Personal Data Protection Bill ini. Ini yang kita risau Tuan Yang di-Pertua. Apa yang ada di dalam Yang Berhormat Shah Alam punya hand phone, orang boleh dapat SMS ini.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Tidak mengapa, tidak mengapa.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Eh, jangan! Esok saya takut sekali tentang perhubungan Yang Berhormat Shah Alam dengan Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri. Itu yang saya takut sekali perhubungan adik-beradik ini. Dapat orang tahu, susah.

Dia di dalam Dewan, dia kata tidak bersetuju. Akan tetapi di dalam SMS dia macam kawan rapat, adik-beradik.
Seorang Ahli: Sudah adik-beradik.
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Kita dengar kes pencerobohan data maklumat dalam komputer peribadi, wang boleh dicuri Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua, check akaun tiba-tiba tengok duit hilang sahaja. Dia tidak ambil banyak Tuan Yang di-Pertua, satu minit satu sen. Dia boleh buat program itu. Bermakna kalau kita tidak jaga tentang keselamatan data tadi, ia boleh mengancam ekonomi. Kewangan kita boleh terancam, kedudukan bank boleh terancam. Begitu juga dengan kita, selepas itu keselamatan negara. Cuba kita ingat kalau maklumat di dalam komputer di Kementerian Pertahanan dapat dicuri, apa akan jadi? Maklumat dalam polis boleh dicuri.

Untuk itu, saya cadangkan supaya kerajaan… dahulu saya ada dengar dia hendak kemukakan satu bill. Bill yang dipanggil Personel Data Protection Bill. Saya minta tengok balik, kemukakan di dalam Dewan yang mulia ini secepat yang mungkin dan kita minta juga supaya ada satu peruntukan yang khas. Kesalahan ini iaitu mencuri data ini sebagai satu kesalahan jenayah yang boleh membawa kepada hukuman penjara iaitu hukuman yang kita panggil mesti di penjara. Kita tidak mahu hanya pencuri maklumat itu terlepas dengan dikenakan denda sahaja.

Terakhirnya Tuan Yang di-Pertua, terima kasih banyak. Tentang GLC kita risau jugalah.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Masa Yang Berhormat pun sudah habis.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Bangun]
Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis [Rompin]: Terima kasih habis. Saya minta maaf Yang Berhormat Shah Alam, mungkin nanti saya akan bagi. Baru-baru ini GLC turun net worth dia RM53 bilion. Kita semua risau. Akan tetapi yang saya tahu, kita tidak begitu.

Saya nampak GLC kalau boleh beri sedikit statement bahawa kita tidak perlu risau akan hal ini paper lost sahaja. Seperti di Amerika lagi teruk. Dia hilang Tuan Yang di-Pertua, RM10 trilion. Half the wealth dengan izin disappear. Kita tidak sampai begitu dan kita yakin bahawa GLC mempunyai satu kumpulan pengurusan yang baik dan syabas kepada mereka. Namun demikian, saya buat cadangan, KPI mereka Tuan Yang di-Pertua, jangan berasaskan kepada PNL sahaja. Jangan KPI GLC ini hanya untung, untung, untung sahaja. Dia sebagai satu syarikat di bawah naungan dan akhir-akhir ini kepunyaan kerajaan mesti juga memikul tanggungjawab sosial. Mesti ada meliputi CSR iaitu corporate, social, responsibility. Mereka tidak hanya mampu mengatakan
untung sahaja. Mereka mesti kata, berapa banyak kita tolong bantu untuk meningkatkan industri
tempatan.

Banyak mana mereka membantu usahawan tempatan? Ini penting juga. Kalau boleh yang GLC ini jangan mereka bersaing dengan pengusaha tempatan. Jangan ada kontrak masuk tender, dia mahu masuk juga. Mereka mesti keluar dan hanya boleh memasuki bidang-bidang yang pengusaha tempatan tidak boleh bersaing.

Mana-mana pengusaha tempatan yang sudah ada kapasiti untuk memasuki pasaran itu, mereka terpaksa keluar dan mereka patut masuk ke dalam bidang-bidang yang baru seperti bidang healthcare, animasi yang mana usahawan tempatan tidak ada cukup modal dan tidak ada kepakaran.

Saya mohon menyokong Tuan Yang di-Pertua kepada apa yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dahulu. Saya mengakhiri ucapan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi masa kepada saya untuk mengikuti perbahasan ini. Terima kasih.

RUJUKAN: 23 Oktober 2008 ms 40 – 52

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: