Kementerian Pengajian Tinggi tidak berhasrat untuk menaikkan jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berikutan kemampuan kewangan yang terhad.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bagaimanapun kerajaan tidak akan membiarkan pengajian pelajar terganggu disebabkan masalah kewangan dan akan membuat penilaian bergantung kepada keperluan semasa.
Beliau berkata, PTPTN sudah menaikkan jumlah pinjaman untuk pengajian di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) daripada maksimum RM5,000 setahun kepada RM8,000 setahun bagi penuntut kursus diploma mulai 1 Mac 2007 manakala pinjaman penuntut kursus ijazah pertama (Perubatan) dinaikkan kepada RM30,000 setahun berbanding RM20,000 setahun.
“Kadar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi pengajian dalam negara sama ada pada peringkat diploma dan ijazah juga sudah dinaikkan mulai September 2007.
“Kadar ini dianggap berpatutan bagi kegunaan harian pelajar secara sederhana kerana segala yuran pengajian ditanggung penaja,” katanya pada sesi Penggulungan Bajet 2009 di Dewan Rakyat, di sini, semalam.
Beliau mengulas isu bantuan kewangan kepada pelajar yang dibangkit oleh Ahli Parlimen PAS Padang Terap, Mohamad Nasir Zakaria.
Mengulas mengenai isu ranking institut pengajian tinggi awam (IPTA), Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, berkata penurunan ranking universiti di negara ini tidak seburuk seperti yang disangka segelintir pihak.
Beliau berkata, universiti tempatan mempunyai tanggungjawab sosial dan akademik tersendiri selaras dengan tujuan asal penubuhannya sebagai institusi pembangunan ketamadunan masyarakat.
Katanya, penilaian yang dibuat beberapa sistem ranking dunia seperti The Times Higher Education Supplement (THES) awal tahun lalu, adalah berdasarkan kriteria dan indikator tertentu dengan objektif masing-masing.
“Tidak dapat dinafikan terdapat pertembungan dalam memenuhi kriteria sistem ranking tertentu dengan tuntutan sosial negara. Perkara ini perlu ditangani dengan baik bagi memberi keseimbangan terhadap kedua-dua tuntutan berkenaan supaya tanggungjawab terhadap rakyat negara ini tidak diabaikan.
“Namun, universiti kita tidak seburuk seperti yang dikatakan,” katanya menjawab isu yang dibangkitkan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang menyelar kedudukan universiti tempatan yang kini jauh ketinggalan berbanding universiti jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.
Awal November 2007, THES yang berpangkalan di London, mengeluarkan senarai kedudukan institut pengajian tinggi dunia, termasuk Malaysia.
Universiti Malaya (UM) berada dalam ranking ke-246, Universiti Sains Malaysia (307), Universiti Kebangsaan Malaysia (309) dan Universiti Putra Malaysia (364).
Sebelum ini, UM menduduki tangga 192, USM (277), UKM (182) dan UPM (292). – Berita Harian
Filed under: Ahli Parlimen PAS, Dewan Rakyat |
Tinggalkan Jawapan