• KENYATAAN QARADHAWI

    "Wahai saudaraku, Allah adalah Tuhan sekelian alam seluruhnya, Tuhan orang Islam dan Tuhan orang Kristian. Surah terakhir di dalam Al-Quran ada menyebut : ((Katakanlah! (wahai Muhammad) Aku berlindung dengan Tuhan sekelian manusia, Yang Menguasai sekelian manusia!))..bukan Tuhan orang Islam sahaja atau Tuhan Arab sahaja, atau Menguasai Arab sahaja ….) Kemudian beliau(Al-Qardhawi) bertanya: Oleh itu kenapakah perkara ini menimbulkan kemarahan wahai orang-orang (Islam) Malaysia? - Kata Qaradhawi di masjid Umar bin Al-Khattab, Doha pada 22 Jan 2010 - Kenyataan Qaradhawi

Pemilihan Timbalan Presiden PAS: Pandangan Tokoh Akademik

PEREBUTAN jawatan Timbalan Presiden Pas di antara penyandang, Nasharuddin Mat Isa, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu paling menjadi tumpuan pada Muktamar Pas Ke-55, minggu depan. Wartawan Berita Minggu, AHMAD NAIM TAHIR mendapatkan pandangan Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar untuk menghuraikan perkara itu. – Berita Minggu 31 Mei 2009

Soalan: Husam, Mat Sabu dan Nasharuddin bukan pertandingan proksi Nik Aziz, Hadi

Sejauh mana pentingnya jawatan timbalan presiden kepada Pas kerana ada bekas penyandang sebelum ini seperti Datuk Hassan Shukri tidak pun berjaya sampai ke puncak tertinggi kepemimpinan parti.

Kedudukan timbalan presiden untuk mana-mana parti penting kerana ia platform bagi pelbagai pihak melihat dan menilai kualiti kepemimpinan pengganti presiden. Ia juga kedudukan yang mana pemegangnya akan memangku jawatan presiden sekiranya presiden berundur atau ditakdirkan uzur yang kuat atau berlaku kematian.

Memang tidak dinafikan ada keadaannya yang mana timbalan presiden tidak dapat bertahan untuk mengganti presiden, tetapi ia juga berlaku dalam parti lain, termasuk Umno, MCA dan MIC. Dalam proses demokrasi, perwakilan ada hak untuk mengekal atau menukar timbalan presiden atau jawatan politik apa pun dalam parti.

Soalan: Pada pemilihan kali ini, ada tiga tokoh Pas bertanding jawatan kedua tertinggi itu. Apakah keadaan itu boleh memecahkan perpaduan parti atau mewujudkan tiga kelompok ahli dalam Pas?

Pertandingan jawatan timbalan presiden bukan asing dalam Pas dan dalam aspek ini, Pas lebih berpengalaman daripada parti politik lain. Sebelum ini, Nasharuddin Mat Isa pernah dicabar Datuk Harun Taib. Nasharuddin sendiri sebelum itu dipilih oleh perwakilan pada pertandingan menentang Hassan yang menyandang jawatan Timbalan Presiden.

Seperti yang kita lihat, tiada perpecahan serius berlaku dalam Pas selepas pemilihan itu, malah Pas dapat membina kekuatan baru dengan kepemimpinan yang baru. Tambahan pula, Pas mempunyai ideologi dan misi yang dapat didukungi dengan baik oleh pemimpin dan pengikutnya. Namun begitu, pada kali ini ada jurang perbezaan antara kelompok dalam Pas. Ada yang menyokong perpaduan Melayu dan Islam, lantas menyokong kemungkinan bekerjasama dengan Umno, ada pula menentang kerjasama itu dan mahu memperkukuhkan pakatan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Sedalam mana jurang perbezaan ini, hanya dapat dinilai selepas pemilihan nanti. Satu nilai yang dipegang oleh penyokong Pas adalah wala’ terhadap pemimpin dan saya menjangka faktor ini dapat meredakan perpecahan dalam parti.

Soalan: Apakah kelebihan tersendiri yang dimiliki Nasharuddin, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu yang boleh digunakan Pas untuk meluaskan pengaruhnya.

Setiap calon ada kelebihan tersendiri dalam mencorak citra Pas pada masa akan datang. Nasharuddin ada keterampilan pentadbiran yang baik dan beliau dapat melancarkan jentera parti untuk menghadapi cabaran politik tanah air, selain disenangi golongan ulama. Antara tiga calon ini, beliau mempunyai pengaruh untuk mengekalkan sokongan pengikut tradisional yang mahu parti terus dipimpin golongan ulama. Husam lebih disenangi golongan profesional dan pengikut Pas di kawasan bandar.

Beliau diuji dengan portfolio penting dalam kerajaan Kelantan dan dilihat sebagai pemimpin yang punya daya intelektual tinggi. Beliau boleh menjadi penghubung yang penting untuk Pas dalam hubungannya dengan parti pembangkang lain. Mohamad pula sudah dikenali begitu lama berbanding dua calon tadi, mempunyai imej pejuang dan amat popular, termasuk dalam kalangan penyokong Umno sendiri kerana keterampilan berpidato. Beliau adalah pemimpin yang paling sesuai dikedepankan untuk bertarung dengan Umno dan BN.

Soalan: Nasharuddin sebagai penyandang jawatan nampaknya lebih banyak membisu, sedangkan suara Husam dan Mohamad sering kedengaran menyatakan visi dan misi mereka jika menang jawatan itu. Adakah itu juga satu bentuk strategi pertandingan.

Saya fikir Nasharuddin belum mendapat liputan yang meluas dalam media. Namun, kedudukan beliau dalam parti menjamin hubungan berterusan dengan Pas pada peringkat kawasan. Ini mungkin mempengaruhi corak pengundian pada pemilihan akan datang. Sudah tentulah nilai berita bagi Husam dan Mohamad lebih menarik memandangkan mereka mencabar penyandang jawatan. Pandangan, visi dan misi mereka lebih diinginkan pihak media.

Secara logiknya, pencabar sesuatu jawatan itu perlu menerangkan mengapa mereka membuat keputusan untuk bertanding. Husam dan Mohamad mempunyai kelebihan kerana mereka dapat bercakap dengan bahasa dan nuansa perubahan, manakala penyandang jawatan tidak punya kelebihan itu melainkan memberi rasional mengapa beliau perlu dikekalkan memegang jawatannya. Tidak dapat dipastikan sama ada sikap berdiam diri Nasharuddin itu satu strategi, tetapi kurang liputan di media tidak bermakna seseorang calon betul-betul mendiamkan diri.

Mungkin beliau punya pendekatan yang lebih peribadi dengan perwakilan. Namun begitu, faktor bahawa beliau diangkat ke barisan kepemimpinan oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan pengalaman menjadi Timbalan Presiden kepada Abdul Hadi tidak boleh diambil ringan.

Soalan: Ada pendapat menyatakan Nasharuddin ialah proksi dan mempunyai pengaruh ke atas Abdul Hadi, manakala Husam pula anak didik Nik Aziz. Apakah pertembungan mereka boleh disamakan sebagai pertembungan antara Abdul Hadi dan Nik Aziz.

Nasharuddin orang kanan Abdul Hadi seperti juga Husam orang kanan Nik Aziz. Namun pertentangan untuk jawatan timbalan presiden bukanlah pertentangan peribadi. Ia pertembungan idea dan gagasan, juga strategi dan taktik perjuangan parti. Saya fikir pengikut Pas tidak melihat pertandingan ini sebagai pertembungan antara Abdul Hadi dan Nik Aziz kerana rasa hormat mereka yang tinggi terhadap kedua-dua pemimpin itu.

Saya juga fikir bahawa walaupun kedua-dua calon itu punya hubungan rapat dengan pemimpin atasan, mereka juga mempunyai fikiran dan gagasan tersendiri, bebas daripada pengaruh Abdul Hadi atau Nik Aziz.

Soalan: Antara ketiga-tiga calon itu, siapa yang dilihat mempunyai peluang lebih besar untuk menawan undi perwakilan.

Saya tidak dapat ramal kerana tiada profil perwakilan. Tidak adil untuk saya membuat ramalan, tetapi saya fikir pertandingan sebenar adalah antara Nasharuddin dan Husam. Kalau dilihat mood politik secara menyeluruh, mungkin sentimen akan memihak kepada usaha memperkukuhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat dan menolak kerjasama dengan Umno. Ini saya asaskan kepada sentimen di kalangan penyokong pembangkang berikutan krisis politik di Perak.

Soalan: Apakah kriteria yang perlu diambil kira oleh perwakilan Pas kali ini dalam memilih pemimpin terbaik sebagai timbalan presiden.

Antara kriteria yang perlu diambil kira ialah kelangsungan parti. Ketiga-tiga calon adalah pemimpin peringkat tinggi parti dan kesinambungan kepemimpinan bukanlah isu utama. Faktor kedua, kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat dan hubungannya dengan Umno dan BN yang mungkin mendorong perwakilan membuat keputusan berdasarkan senario masa depan. Faktor ketiga ialah dari aspek calon sendiri, antaranya latar belakang pendidikan agama, akhlak, integriti, pengalaman dan hubungan dengan ahli parti.

Soalan: Bagaimana Dr meramalkan hala tuju Pas selepas muktamar ini berdasarkan kedudukan timbalan presidennya. Apa akan berlaku jika ia kekal disandang Nasharuddin atau dimenangi Husam atau Mohamad.

Struktur Pas yang rumit bermakna seseorang tokoh itu tidak selalu dapat mempengaruhi parti secara individu. Keputusan presiden sendiri boleh dipersoalkan oleh Mursyidul Am yang punya pengaruh tersendiri. Namun, jika timbalan presiden dapat mencorak hala tuju Pas, saya berpendapat Pas akan menjadi konservatif jika Nasharuddin kekal sebagai timbalan presiden. Beliau akan mengutamakan kedudukan orang Melayu dan Islam serta mungkin membuka saluran rundingan dengan Umno.

Husam pula dijangka membawa Pas menjadi lebih progresif dengan pembabitan golongan profesional, muda dan bandar secara lebih mendalam, selain mengeratkan lagi kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Mohamad pula mungkin membawa Pas menjadi lebih ofensif dalam pertembungan dengan Umno untuk memenangi hati pengundi Melayu dan Muslim. Apa pun keputusannya, pemilihan kepemimpinan Pas kali ini akan memberi petunjuk mengenai maklum balas ahli Pas terhadap kejayaan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan siri pilihan raya kecil selepas itu.

Advertisements

PKFZ: Pengerusi LPK buat laporan kepada SPRM

Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang Datuk Lee Hwa Beng berkata, beliau akan membuat laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan audit terhadap projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan pengendali projek itu, PKFZ Sdn Bhd, pagi esok.

Katanya beliau akan mengemukakan laporan itu ke pejabat MACC di Putrajaya pada pukul 8 pagi seperti yang diarahkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat. Lee berkata demikian pada sidang akhbar bersempena dengan pengumuman laporan bertajuk: “Semakan Kedudukan Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang dan Port Klang Free Zone Sdn Bhd” yang dibuat oleh firma audit antarabangsa, PricewaterhouseCoopers (PwC), di sini hari ini.

“PKA tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat. Anda baca blog menteri (Ong) tentang apa yang dia mahu saya lakukan,” katanya.

Lee berkata bagi memastikan ketelusan, laporan oleh PwC itu boleh didapati sepenuhnya dengan melayari laman web http://www.pkareport.com untuk diakses oleh orang ramai selama dua minggu mulai hari ini hingga 10 Jun, 2009.

Hab pindah kapal PKFZ seluas 405 hektar itu, yang menempatkan gudang, blok pejabat dan hotel bertaraf empat bintang, diselubungi kontroversi selepas didedahkan bahawa kos pembangunannya melambung tinggi daripada kos asalnya yang kurang dari RM2.5 bilion meningkat kepada RM4.6 bilion.

Sementara itu, Ong hari ini berkata satu salinan laporan audit PKFZ, yang didedahkan untuk tatapan umum hari ini, juga akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Kementerian saya bukan sahaja komited untuk laporan itu dikeluarkan tetapi juga bertekad memastikan bahawa kami dapat mengambil segala langkah untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini mengikut bidang kuasa kami,” kata Ong dalam blognya di http://www.ongteekeat.net.

Katanya pengeluaran “Semakan Kedudukan Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang dan Port Klang Free Zone Sdn Bhd” itu hanyalah bahagian kecil daripada tugas yang dilakukan.

“Kami sekarang ini perlu bertindak dengan serius terhadap penemuan dalam laporan itu untuk memastikan bahawa kepentingan orang ramai adalah dilindungi sepenuhnya dan kerajaan ini menunaikan apa yang dijanjikan,” katanya.

Lee dari PKA berkata, 15 set apendiks laporan itu boleh diperoleh untuk tatapan umum di pejabat PKA di sini semasa waktu pejabat selama dua minggu mulai hari ini.

Katanya PwC telah menetapkan tiga syarat sebelum pengeluaran laporan untuk tatapan awam boleh dibuat bahawa laporan itu tidak boleh digunakan, ia tidak boleh dijadikan sandaran untuk membuat sebarang kesimpulan, dan tidak menjadi kewajipan kepada PwC untuk memberikan maklum balas kepada sebarang pertanyaan.

Kata Lee: “PwC telah menyediakan laporan ini untuk Lembaga Pelabuhan Klang. Tugas yang dipertanggungjawabkan mereka hanyalah kepada PKA dan PwC tidak mempunyai tugas yang dipertanggungjawabkan kepada manamana pihak yang lain.”

Apabila ditanya mengapa hanya tempoh dua minggu diberikan kepada orang ramai untuk membacanya, beliau berkata ia adalah memadai dan PKA telah menyewa pelayan dari pihak luar bagi laman web mereka.

Katanya PKA tidak memuat naik apendiks dalam laman web itu memandangkan terdapatnya terlalu banyak helaian.

Ong, dalam blognya juga berkata beliau telah mengarahkan PKA, yang mengawal selia projek PKFZ, untuk mengambil tindakan mengikut empat bahagian.

Ong mahu menggunakan peruntukan undang-undang untuk mengatasi kekurangan dari segi terma kontrak dan tindak-tanduk yang menyalahi peraturan, untuk mendapatkan nasihat profesional mengenai penyusunan semula obligasi kewangan PKA, untuk memperbaharui dan mengetatkan isu tadbir urus pada peringkat pengurusan dan lembaga pengarah dan untuk memperkemaskan lagi pengurusan PKFZ hari ke hari supaya dapat memperkukuhkan lagi operasinya dan pulangan kewangannya.

Laporan itu pada awalnya dijadualkan dikeluarkan pada 6 Mei tetapi ia terhalang disebabkan telah didedahkan bahawa para pengarah bebas PwC terpaksa akur kepada syarat pengeluaran laporan itu satu surat tanggung rugi diperlukan daripada PKA sebelum laporan itu boleh dikeluarkan.

Susulan dari itu, PKA mendapatkan nasihat undangundang dan satu surat tanggung rugi kemudian dikeluarkan kepada PwC.

Tidak adapun Pengaruh Anwar dalam PAS – Mohamad Sabu

Soalan: Setiap kali menjelang Muktamar Pas, pasti ada isu melanda parti dan kali ini mengenai pertembungan di antara kumpulan pro ulama dan profesional atau kumpulan Erdogan. Adakah memang wujud keadaan ini atau ia diada-adakan?

Mohd Sabu ... tidak adapun pengaruh Anwar dalam PAS

Mohd Sabu ... tidak adapun pengaruh Anwar dalam PAS

Bagi saya, isu itu sengaja dicipta oleh pihak tertentu. Kita dalam Pas tidak ada masalah pun sebenarnya.

Tidak timbul isu ulama akan diketepikan (jika profesional mendominasi kepemimpinan), sebaliknya pemimpin ulama memang diterima dalam Pas.

Kita ada Majlis Syura dan Jawatankuasa Eksekutif untuk bekerjasama menentukan dasar parti dilaksanakan. Macam saya, saya tidak layak berada dalam Majlis Syura kerana bukan bidang saya. Kalau dilantik pun, saya tak mahu kerana memang tidak layak.

Soalan: Ada yang meramalkan kepemimpinan ulama dalam Pas mungkin terhakis kerana pengaruh profesional semakin berkembang. Bagaimana saudara menilai ramalan berkenaan dan melihat masa depan Pas dalam suasana politik di Malaysia yang kian mencabar?

Dasar Pas tetap dasar Islam dan ia memang terkandung dalam perlembagaan parti. Seperti saya sebut tadi, kita terima kepemimpinan ulama dan kita juga ada Majlis Syura untuk memastikan dasar perjuangan Islam dalam Pas tetap kita laksanakan, tidak ada masalah kalau ada gandingan pemimpin profesional dan ulama.

Kita ada Jawatankuasa Eksekutif dan Majlis Syura, tetapi mungkin orang tidak begitu nampak peranan Majlis Syura.

Pengaruh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan semakin meluas dalam Pas, benarkah dakwaan itu?

Saya tidak nampak perkara ini (pengaruh Anwar semakin berkembang dalam Pas)… bagi saya, tak ada pun.
Teruskan membaca

Pandangan Pensyarah Akademik mengenai PAS

Pertambahan mendadak golongan profesional galakkan parti jadi kuda tunggangan DAP – Rencana Berita Minggu 24 Mei 2009.

Prof Mad Dr A Nidzamuddin Sulaiman, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - Rencana Berita Minggu 24 Mei 2009

Prof Mad Dr A Nidzamuddin Sulaiman, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). - Rencana Berita Minggu 24 Mei 2009

Soal Jawab bersama Prof Mad Dr A Nidzamuddin Sulaiman, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Soalan: Menjelang pemilihan Pas, timbul perdebatan siapa yang patut dipilih sama ada calon mewakili ulama atau profesional. Pada ketika ini ramai mengatakan ahli Pas sendiri sebenarnya mahu profesional menjadi pemimpin untuk disesuaikan dengan keadaan semasa?

Ini adalah isu besar dalam Pas dan turut menjadi masalah kepada banyak parti berteraskan Islam di negara lain. Hakikat bahawa golongan ulama dicabar oleh golongan profesional atau golongan muda sudah menjadi isu lazim dalam banyak negara Muslim.

Golongan ulama sudah lama memimpin Pas dan mempunyai pelapis seperti Datuk Dr Haron Din dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak untuk meneruskan kesinambungan. Namun, berlaku sedikit anjakan iaitu kelihatan semakin ramai profesional memegang jawatan penting seperti Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (bekas Menteri Besar Perak), Datuk Kamarudin Jaffar dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Ketika Pas dipimpin Allahyarham Datuk Fadzil Noor, golongan ini dinamakan intelektual Islam dan ini menunjukkan mereka sudah lama wujud tetapi kini lebih dikenali sebagai profesional. Walaupun berlatar belakangkan kerjaya profesional seperti doktor perubatan, jurutera atau ahli akademik, jiwa Islam dan semangat mereka kepada perjuangan amat kental dan juga mahir menangani pelbagai isu agama, perjuangan parti dan isu ummah dewasa ini.

Kini, bilangan mereka semakin bertambah dan semakin berpengaruh. Saya melihat ini sebagai perkembangan sihat. Meskipun dianggap profesional, semangat dan komitmen mereka kepada perjuangan tidak boleh dipertikai.

Pengetahuan dan kemahiran mereka mengenai agama juga amat tinggi. Jika mereka diberi peluang memegang jawatan utama, Pas tidak akan berubah banyak dasarnya, malah boleh menjadi lebih progresif. Namun, tidak bermakna golongan ulama mesti dipinggirkan kerana mereka tetap penting kepada parti.

Apa yang menjadi isu ialah tidak wajar parti menetapkan hanya ulama menjadi pemimpin utama, apatah lagi sudah ada Majlis Syura dianggotai golongan ulama yang bertindak sebagai lembaga pengarah menggubal keputusan penting.

Pada zaman ini, keterbukaan (menerima golongan profesional) menjadi pilihan orang ramai. Mungkin mereka tidak akan menyuarakan isu ini secara terbuka pada muktamar parti, tetapi tuntutan pengiktirafan kepada golongan profesional tetap berkembang dan tidak boleh dielakkan.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden Pas selepas Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menawarkan diri bertanding jawatan itu. Adakah keputusan ini disengajakan bagi mengelak seorang daripada dua tokoh ini daripada tenggelam?

Kedua-dua pemimpin ini tonggak utama parti dan memiliki cara tersendiri dalam kepemimpinan. Walaupun kadangkala berlaku perselisihan pendapat seperti isu muzakarah atau muqabalah, mereka saling menghormati. Sudah tentu parti tidak mahu kehilangan salah seorang daripada mereka, maka disusun seolah-olah tidak berlaku sebarang cabaran.

Teruskan membaca

Sultan tiada hak singkir MB

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak boleh menyingkirkan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin daripada jawatan Menteri Besar memandangkan beliau memegang jawatan tersebut bukan atas perkenan baginda.

Sebaliknya, menurut Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim, Menteri Besar yang dilantik bersama barisan Exco kerajaan negeri adalah bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, ini jelas terkandung dalam Perkara 16 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) yang menyatakan bahawa sekiranya Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti anggota DUN, beliau harus meletakkan jawatan barisan Exco tersebut atau Menteri Besar boleh meminta baginda membubarkan DUN.

”Berdasarkan Perkara 16 subseksyen (2),(5),(6) dan (7) UTKP, adalah jelas bahawa sebaik sahaja Menteri Besar dilantik, beliau bertanggungjawab kepada DUN dan bukan kepada yang lain.

”Maksudnya, dengan pelantikan tersebut, Menteri Besar memimpin negeri melalui barisan Exco dan menasihatkan baginda berhubung hal ehwal negeri seperti yang termaktub di bawah Perkara 18(1) Perlembagaan negeri Perak,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) itu menyatakan demikian dalam penghakiman bertulis setebal 78 muka surat yang diperoleh pihak media hari ini.
Teruskan membaca