• KENYATAAN QARADHAWI

    "Wahai saudaraku, Allah adalah Tuhan sekelian alam seluruhnya, Tuhan orang Islam dan Tuhan orang Kristian. Surah terakhir di dalam Al-Quran ada menyebut : ((Katakanlah! (wahai Muhammad) Aku berlindung dengan Tuhan sekelian manusia, Yang Menguasai sekelian manusia!))..bukan Tuhan orang Islam sahaja atau Tuhan Arab sahaja, atau Menguasai Arab sahaja ā€¦.) Kemudian beliau(Al-Qardhawi) bertanya: Oleh itu kenapakah perkara ini menimbulkan kemarahan wahai orang-orang (Islam) Malaysia? - Kata Qaradhawi di masjid Umar bin Al-Khattab, Doha pada 22 Jan 2010 - Kenyataan Qaradhawi

Pemilihan Timbalan Presiden PAS: Pandangan Tokoh Akademik

PEREBUTAN jawatan Timbalan Presiden Pas di antara penyandang, Nasharuddin Mat Isa, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu paling menjadi tumpuan pada Muktamar Pas Ke-55, minggu depan. Wartawan Berita Minggu, AHMAD NAIM TAHIR mendapatkan pandangan Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar untuk menghuraikan perkara itu. – Berita Minggu 31 Mei 2009

Soalan: Husam, Mat Sabu dan Nasharuddin bukan pertandingan proksi Nik Aziz, Hadi

Sejauh mana pentingnya jawatan timbalan presiden kepada Pas kerana ada bekas penyandang sebelum ini seperti Datuk Hassan Shukri tidak pun berjaya sampai ke puncak tertinggi kepemimpinan parti.

Kedudukan timbalan presiden untuk mana-mana parti penting kerana ia platform bagi pelbagai pihak melihat dan menilai kualiti kepemimpinan pengganti presiden. Ia juga kedudukan yang mana pemegangnya akan memangku jawatan presiden sekiranya presiden berundur atau ditakdirkan uzur yang kuat atau berlaku kematian.

Memang tidak dinafikan ada keadaannya yang mana timbalan presiden tidak dapat bertahan untuk mengganti presiden, tetapi ia juga berlaku dalam parti lain, termasuk Umno, MCA dan MIC. Dalam proses demokrasi, perwakilan ada hak untuk mengekal atau menukar timbalan presiden atau jawatan politik apa pun dalam parti.

Soalan: Pada pemilihan kali ini, ada tiga tokoh Pas bertanding jawatan kedua tertinggi itu. Apakah keadaan itu boleh memecahkan perpaduan parti atau mewujudkan tiga kelompok ahli dalam Pas?

Pertandingan jawatan timbalan presiden bukan asing dalam Pas dan dalam aspek ini, Pas lebih berpengalaman daripada parti politik lain. Sebelum ini, Nasharuddin Mat Isa pernah dicabar Datuk Harun Taib. Nasharuddin sendiri sebelum itu dipilih oleh perwakilan pada pertandingan menentang Hassan yang menyandang jawatan Timbalan Presiden.

Seperti yang kita lihat, tiada perpecahan serius berlaku dalam Pas selepas pemilihan itu, malah Pas dapat membina kekuatan baru dengan kepemimpinan yang baru. Tambahan pula, Pas mempunyai ideologi dan misi yang dapat didukungi dengan baik oleh pemimpin dan pengikutnya. Namun begitu, pada kali ini ada jurang perbezaan antara kelompok dalam Pas. Ada yang menyokong perpaduan Melayu dan Islam, lantas menyokong kemungkinan bekerjasama dengan Umno, ada pula menentang kerjasama itu dan mahu memperkukuhkan pakatan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Sedalam mana jurang perbezaan ini, hanya dapat dinilai selepas pemilihan nanti. Satu nilai yang dipegang oleh penyokong Pas adalah wala’ terhadap pemimpin dan saya menjangka faktor ini dapat meredakan perpecahan dalam parti.

Soalan: Apakah kelebihan tersendiri yang dimiliki Nasharuddin, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu yang boleh digunakan Pas untuk meluaskan pengaruhnya.

Setiap calon ada kelebihan tersendiri dalam mencorak citra Pas pada masa akan datang. Nasharuddin ada keterampilan pentadbiran yang baik dan beliau dapat melancarkan jentera parti untuk menghadapi cabaran politik tanah air, selain disenangi golongan ulama. Antara tiga calon ini, beliau mempunyai pengaruh untuk mengekalkan sokongan pengikut tradisional yang mahu parti terus dipimpin golongan ulama. Husam lebih disenangi golongan profesional dan pengikut Pas di kawasan bandar.

Beliau diuji dengan portfolio penting dalam kerajaan Kelantan dan dilihat sebagai pemimpin yang punya daya intelektual tinggi. Beliau boleh menjadi penghubung yang penting untuk Pas dalam hubungannya dengan parti pembangkang lain. Mohamad pula sudah dikenali begitu lama berbanding dua calon tadi, mempunyai imej pejuang dan amat popular, termasuk dalam kalangan penyokong Umno sendiri kerana keterampilan berpidato. Beliau adalah pemimpin yang paling sesuai dikedepankan untuk bertarung dengan Umno dan BN.

Soalan: Nasharuddin sebagai penyandang jawatan nampaknya lebih banyak membisu, sedangkan suara Husam dan Mohamad sering kedengaran menyatakan visi dan misi mereka jika menang jawatan itu. Adakah itu juga satu bentuk strategi pertandingan.

Saya fikir Nasharuddin belum mendapat liputan yang meluas dalam media. Namun, kedudukan beliau dalam parti menjamin hubungan berterusan dengan Pas pada peringkat kawasan. Ini mungkin mempengaruhi corak pengundian pada pemilihan akan datang. Sudah tentulah nilai berita bagi Husam dan Mohamad lebih menarik memandangkan mereka mencabar penyandang jawatan. Pandangan, visi dan misi mereka lebih diinginkan pihak media.

Secara logiknya, pencabar sesuatu jawatan itu perlu menerangkan mengapa mereka membuat keputusan untuk bertanding. Husam dan Mohamad mempunyai kelebihan kerana mereka dapat bercakap dengan bahasa dan nuansa perubahan, manakala penyandang jawatan tidak punya kelebihan itu melainkan memberi rasional mengapa beliau perlu dikekalkan memegang jawatannya. Tidak dapat dipastikan sama ada sikap berdiam diri Nasharuddin itu satu strategi, tetapi kurang liputan di media tidak bermakna seseorang calon betul-betul mendiamkan diri.

Mungkin beliau punya pendekatan yang lebih peribadi dengan perwakilan. Namun begitu, faktor bahawa beliau diangkat ke barisan kepemimpinan oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan pengalaman menjadi Timbalan Presiden kepada Abdul Hadi tidak boleh diambil ringan.

Soalan: Ada pendapat menyatakan Nasharuddin ialah proksi dan mempunyai pengaruh ke atas Abdul Hadi, manakala Husam pula anak didik Nik Aziz. Apakah pertembungan mereka boleh disamakan sebagai pertembungan antara Abdul Hadi dan Nik Aziz.

Nasharuddin orang kanan Abdul Hadi seperti juga Husam orang kanan Nik Aziz. Namun pertentangan untuk jawatan timbalan presiden bukanlah pertentangan peribadi. Ia pertembungan idea dan gagasan, juga strategi dan taktik perjuangan parti. Saya fikir pengikut Pas tidak melihat pertandingan ini sebagai pertembungan antara Abdul Hadi dan Nik Aziz kerana rasa hormat mereka yang tinggi terhadap kedua-dua pemimpin itu.

Saya juga fikir bahawa walaupun kedua-dua calon itu punya hubungan rapat dengan pemimpin atasan, mereka juga mempunyai fikiran dan gagasan tersendiri, bebas daripada pengaruh Abdul Hadi atau Nik Aziz.

Soalan: Antara ketiga-tiga calon itu, siapa yang dilihat mempunyai peluang lebih besar untuk menawan undi perwakilan.

Saya tidak dapat ramal kerana tiada profil perwakilan. Tidak adil untuk saya membuat ramalan, tetapi saya fikir pertandingan sebenar adalah antara Nasharuddin dan Husam. Kalau dilihat mood politik secara menyeluruh, mungkin sentimen akan memihak kepada usaha memperkukuhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat dan menolak kerjasama dengan Umno. Ini saya asaskan kepada sentimen di kalangan penyokong pembangkang berikutan krisis politik di Perak.

Soalan: Apakah kriteria yang perlu diambil kira oleh perwakilan Pas kali ini dalam memilih pemimpin terbaik sebagai timbalan presiden.

Antara kriteria yang perlu diambil kira ialah kelangsungan parti. Ketiga-tiga calon adalah pemimpin peringkat tinggi parti dan kesinambungan kepemimpinan bukanlah isu utama. Faktor kedua, kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat dan hubungannya dengan Umno dan BN yang mungkin mendorong perwakilan membuat keputusan berdasarkan senario masa depan. Faktor ketiga ialah dari aspek calon sendiri, antaranya latar belakang pendidikan agama, akhlak, integriti, pengalaman dan hubungan dengan ahli parti.

Soalan: Bagaimana Dr meramalkan hala tuju Pas selepas muktamar ini berdasarkan kedudukan timbalan presidennya. Apa akan berlaku jika ia kekal disandang Nasharuddin atau dimenangi Husam atau Mohamad.

Struktur Pas yang rumit bermakna seseorang tokoh itu tidak selalu dapat mempengaruhi parti secara individu. Keputusan presiden sendiri boleh dipersoalkan oleh Mursyidul Am yang punya pengaruh tersendiri. Namun, jika timbalan presiden dapat mencorak hala tuju Pas, saya berpendapat Pas akan menjadi konservatif jika Nasharuddin kekal sebagai timbalan presiden. Beliau akan mengutamakan kedudukan orang Melayu dan Islam serta mungkin membuka saluran rundingan dengan Umno.

Husam pula dijangka membawa Pas menjadi lebih progresif dengan pembabitan golongan profesional, muda dan bandar secara lebih mendalam, selain mengeratkan lagi kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Mohamad pula mungkin membawa Pas menjadi lebih ofensif dalam pertembungan dengan Umno untuk memenangi hati pengundi Melayu dan Muslim. Apa pun keputusannya, pemilihan kepemimpinan Pas kali ini akan memberi petunjuk mengenai maklum balas ahli Pas terhadap kejayaan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan siri pilihan raya kecil selepas itu.

Advertisements

2 Respons

  1. […] Pemilihan Timbalan Presiden PAS: Pandangan Tokoh Akademik […]

  2. […] Pemilihan Timbalan Presiden PAS: Pandangan Tokoh Akademik   […]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: