• KENYATAAN QARADHAWI

    "Wahai saudaraku, Allah adalah Tuhan sekelian alam seluruhnya, Tuhan orang Islam dan Tuhan orang Kristian. Surah terakhir di dalam Al-Quran ada menyebut : ((Katakanlah! (wahai Muhammad) Aku berlindung dengan Tuhan sekelian manusia, Yang Menguasai sekelian manusia!))..bukan Tuhan orang Islam sahaja atau Tuhan Arab sahaja, atau Menguasai Arab sahaja ….) Kemudian beliau(Al-Qardhawi) bertanya: Oleh itu kenapakah perkara ini menimbulkan kemarahan wahai orang-orang (Islam) Malaysia? - Kata Qaradhawi di masjid Umar bin Al-Khattab, Doha pada 22 Jan 2010 - Kenyataan Qaradhawi

Nazri Aziz dicabar letak jawatan kerana gagal … – Naib Ketua Wanita

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dicabar meletak jawatan sebagai Ketua Whip Barisan Nasional (BN) kerana gagal memastikan wakil kerajaan hadir semasa pengundian meluluskan Bajet 2010 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Kamilia lbrahim berkata, tugas serta tanggungjawab itu amat penting dan perlu dipandang serius oleh semua wakil rakyat BN.

”Saya kesal, saya rasa beliau (Mohamed Nazri) patut letak jawatan kerana kegagalannya sebagai Ketua Whip BN amat ketara.

”Dalam keadaan politik sekarang, semua wakil rakyat dan Datuk Seri Mohamed Nazri perlu berada di dalam negara dan tak perlu cuti, tumpukan kepada kerja. Saya sangat kecewa, bayangkan kalau bajet tak lulus,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Program lman ‘Remaja Bebas Dadah’ di Sekolah Kebangsaan Sayong dekat sini semalam.

Pada insiden 14 Disember lalu, pembangkang hampir berjaya menggagalkan Bajet 2010 daripada diluluskan ekoran ramai wakil rakyat BN tidak berada di dalam Dewan ketika pengundian hendak dijalankan.
Teruskan membaca

Sokongan Malaysia kepada Palestin tidak berubah

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus menyuarakan sokongan terhadap Palestin walaupun isu Palestin tidak mendapat perhatian negara besar, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata, pendirian itu memang jelas dan tidak berubah, dan Malaysia tidak gentar untuk menyuarakan pandangan itu di mana saja termasuk di forum negara Islam mahupun persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sebagai negara Islam yang kecil, suara kita sentiasa berkumandang. Sama ada ia akan didengar oleh kuasa besar, itu terpulang tetapi kita sememangnya tidak gentar dan gerun dalam mengemukakan pendapat sama ada di forum-forum negara Islam atau PBB. Kita sentiasa suarakan apa yang perlu disuarakan, termasuk isu di Palestin.

“Sokongan Malaysia terhadap perjuangan Palestin bukannya secara sembunyi-sembunyi. Kita memang telah lama mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat tiga Ahli Parlimen Palestin di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Delegasi yang diketuai Dr Salem A Salamah, itu disertai Ismail AM Alashqar dan Mushir OK Almassri.

Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat Isa, Naib Presidennya, Salahuddin Ayub, serta Ahli Parlimen Shah Alam (Pas) Khalid Samad, Ahli Parlimen Kuala Krai (Pas) Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Tumpat (Pas), Datuk Kamarudin Jaafar.

Pandikar Amin berkata, pada pertemuan kira-kira 40 minit itu, wakil Parlimen Palestin turut mencadangkan penubuhan kumpulan persahabatan antara Ahli Parlimen Palestin dan Malaysia bagi berkongsi pandangan dan maklumat tentang perkembangan kedua-dua negara.

Katanya, perkara itu (persahabatan) sememangnya sudah menjadi dasar Malaysia dan sebagai bukti, pada tahun lalu Parlimen Malaysia telah sebulat suara menyokong usul mengutuk serangan dan pencerobohan Israel ke atas Palestin.

“Sebenarnya itu memang dasar kita. Sejak dulu lagi kita mengiktiraf Palestin dan ia tidak pernah berubah,” katanya. – Bernama

Vaksin untuk H1N1 selamat digunakan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa vaksin bagi merawat dan mencegah penyakit Influenza A (H1N1) adalah selamat digunakan walaupun mempunyai kesan sampingan seperti demam, ruam dan rasa sakit di bahagian badan yang disuntik.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata kes berhubung kesan sampingan seperti yang dilaporkan berlaku di Kanada baru-baru ini adalah kes terpencil.

“Rakyat tidak perlu bimbang kerana vaksin yang digunakan selamat walaupun beberapa insiden di Kanada menunjukkan kesan sampingan seperti demam, ruam dan kesakitan pada tempat yang disuntik.

“Ia selamat dan mampu memberi tahap pertahanan kepada golongan barisan hadapan dan berisiko tinggi untuk menghadapi pandemik Influenza A(H1N1).

“Kerajaan juga yakin pemberian vaksin ini akan mampu mengawal dan memastikan golongan barisan hadapan bersedia untuk menghadapi wabak tersebut sekiranya berlaku gelombang kedua penularan virus A(H1N1),” katanya menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md Ramli (Pas-Kuala Krai) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menanyakan tahap keselamatan bagi pengambilan vaksin untuk virus Influenza A(H1N1) berikutan tempoh singkat untuk menghasilkan vaksin berkenaan selain tiada ujian dilakukan ke atas manusia.

Rosnah juga memberitahu bahawa jumlah kematian akibat H1N1 kekal seramai 77 orang sejak penyakit itu dikesan pada April lalu.

Katanya, kematian akibat H1N1 sejak 15 September lalu menunjukkan trend penurunan ketara berbanding Ogos dan awal September lalu.

Terdahulu, beliau menjawab soalan Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit) mengenai trend dan statistik kematian setiap tahun bagi lima tahun lalu yang disebabkan beberapa penyakit utama seperti denggi dan penyakit jantung berbanding kematian yang disebabkan kemalangan jalan raya serta bencana alam.

Aaron juga mahu tahu langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Rosnah berkata, kematian akibat penyakit berjangkit seperti denggi, HIV dan Aids menunjukkan trend penurunan dalam tempoh lima tahun lalu.

Beliau berkata, perangkaan menunjukkan kematian akibat penyakit denggi sehingga 28 Nov lalu adalah seramai 78 orang berbanding 102 pada 2005, manakala 600 kematian akibat HIV dilaporkan bagi tempoh sama tahun ini berbanding 1,231 pada 2005.

Bagaimanapun, beliau berkata kematian akibat penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung dan kemalangan menunjukkan peningkatan.

Bagi kes penyakit jantung, 7,597 kematian direkodkan pada tahun lepas berbanding 5,549 tahun 2005, manakala terdapat 6,282 kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2007 berbanding 6,223 kematian pada tahun 2004. – Bernama

Bawa saja isu royalti minyak ke mahkamah: Nazri

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pas Kelantan dicabar membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah daripada berbuat sesuatu yang bersifat retorik dan tidak boleh membawa perubahan kepada status quo.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata membawa isu tuntutan itu ke mahkamah adalah langkah paling tepat berbanding usaha retorik iaitu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berdoa yang bukan-bukan terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat.

“Saya pun hairan mengapa mereka tak bawa kerajaan pusat ke mahkamah…daripada mereka buat benda-benda yang tidak boleh datangkan apa-apa perubahan kepada status quo, baik pergi ke mahkamah terus.

“Daripada berdoa yang bukan-bukan…minta diturunkan bala ke atas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang saya kira itu kerja bodoh. Baik terus bawa ke mahkamah kerana itu lebih dapat menyelesaikan masalah dan bukannya retorik sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri Kelantan yang dilihat lebih berunsurkan retorik berhubung isu tuntutan royati minyak selepas melancarkan Ensiklopedia Hansard Parlimen terbitan Yayasan Pembangunan Buku Negara dan Penerbitan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Ensiklopedia fasa pertama yang mengandungi perbahasan pelbagai isu sejak 1995 sehingga 2007 itu mempunyai 138 jilid dan dijual dengan harga RM68,000 manakala fasa kedua merangkumi tahun 1959 hingga 1994 akan diterbitkan pertengahan tahun depan.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas sebelum ini dilaporkan akan mendoakan supaya pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab tidak memberi royalti minyak supaya “pecah perut” sebagai reaksi terhadap keengganan Kerajaan Persekutuan menyerahkan bayaran royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya sekadar memberikan wang ihsan.

Pada 4 November lalu, Najib mengumumkan pembayaran wang ihsan daripada kerajaan pusat kepada Kelantan yang bermula tahun depan.

Ditanya apakah kerajaan yakin akan memenangi kes tersebut sekiranya dibawa ke mahkamah, Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, kerajaan yakin keputusan untuk tidak memberikan royalti adalah menepati kehendak undang-undang tempatan mahupun antarabangsa dan untuk itu beliau yakin kemenangan akan memihak kepada kerajaan.

Beliau berkata, dakwaan pemimpin negeri Kelantan dan pembangkang bahawa hak royalti minyak Kelantan dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah sama sekali tidak benar kerana Perlembagaan hanya menyatakan royalti untuk negeri Sabah dan Sarawak sahaja.

“Sabah dan Sarawak sebelum ini mendapat 100 peratus daripada hasil minyak yang dikeluarkan dari dalam perairan mereka. Itu sebelum mereka masuk Malaysia (penubuhan Malaysia). Tetapi selepas menyertai Malaysia, dua negeri itu terpaksa korbankan 95 peratus hasil minyak mereka.

“Kita kena hargai pengorbanan Sabah dan Sarawak. Sebab tu kepada dia, kita (kerajaan) kata royalti. Kita perlu hargai pengorbanan yang dibuat ini dengan menjamin hak royalti minyak sebanyak lima peratus kepada Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan.

“Tapi bagi negeri-negeri di Semenanjung, tidak ada minyak ditemui sebelum kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Jadi hormatlah pengorbanan mereka,” katanya.

Berdasarkan faktor tersebut Nazri berkata, beliau cukup yakin yang mahkamah tidak akan sama sekali memihak kepada kerajaan Kelantan walaupun kes ini dibawa ke mahkamah antarabangsa.

Katanya, setiap negara berdaulat hanya diberi 12 batu nautika sebagai perairan wilayah.

“Justeru, apa hak kerajaan negeri untuk menuntut lebih daripada 12 batu nautika,” katanya.
Teruskan membaca

Kerajaan tiada hasrat mansuhkan AP gula, beras

KUALA LUMPUR: Pemansuhan permit import (AP) gula dan beras akan mengakibatkan harga barangan pengguna itu terdedah kepada spekulasi dan fenomena turun naik harga di pasaran antarabangsa, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan, berkata sehubungan itu, kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan sistem pemberian AP bagi barangan keperluan berkenaan pada masa ini.

“Bagaimanapun, kerajaan akan terus memantau dan bersedia mengkaji dasar dan pelaksanaan sistem sedia ada sekiranya ia mampu memberi lebih manfaat kepada rakyat untuk jangka masa panjang,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kassim (BN-Arau).

Sagan berkata kerajaan bertanggungjawab memastikan harga barangan pengguna seperti gula, beras dan tepung sentiasa berada pada paras yang munasabah dan tidak membebankan pengguna.

“Sistem pengimportan barangan keperluan pada masa ini tidak boleh dilihat sebagai monopoli untuk menguntungkan pihak-pihak tertentu semata-mata kerana kerajaan mempunyai mekanisme untuk campur tangan jika terdapat unsur penindasan terhadap pengguna.

“Polisi semasa sebenarnya bertujuan memastikan kerajaan mempunyai kawalan terhadap bekalan dan harga barangan berkenaan, selain menggalakkan aktiviti menapis gula mentah yang mempunyai nilai tambah,” katanya.

Sagan berkata pada masa ini, AP untuk mengimport gula mentah hanya dikeluarkan kepada empat syarikat pengilang yang menjalankan aktiviti menapis gula mentah.

“Bagi memastikan bekalan gula mentah dapat diperoleh dengan harga yang rendah, syarikat ini telah menandatangani Kontrak Jangka Panjang (LTC) daripada pembekal-pembekal gula mentah di luar negara,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, penggunaan kapasiti bagi syarikat terbabit adalah sekitar 60 hingga 65 peratus setahun daripada ketidak upayaan sebenar.

Katanya, jika pengimportan dibuka, ia akan menjejaskan pencapaian kapasiti pengeluaran syarikat-syarikat tempatan.

“Harga gula di Malaysia adalah amat rendah jika dibandingkan dengan harga gula di negara-negara lain, khususnya jika dibandingkan dengan harga gula di negara jiran.

“Sekiranya pengimportan gula tidak dikawal oleh kerajaan, adalah dikhuatiri bahawa pengimport tidak akan mengimport gula ketika harga tinggi di pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata kekurangan dan ketidak tentuan bekalan gula di pasaran tempatan akan memberi masalah kepada sektor industri pemprosesan makanan, pengusaha restoran dan kedai makan serta membebankan rakyat sebagai pengguna akhir. – Bernama

Speaker minta Menteri, Timbalan Menteri jawab soalan dengan baik

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini meminta Menteri dan Timbalan Menteri agar menjawab soalan dengan baik supaya tidak menimbulkan kekeliruan.

Perkara itu dibangkitkan apabila Teo Nie Ching (DAP-Serdang) yang mempersoalkan jawapan siapa yang boleh dipercayai apabila beliau dan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) menerima jawapan berbeza mengenai sama ada kerajaan atau syarikat konsesi yang membayar diskaun tol 20 peratus kepada pengguna lebuh raya yang menggunakan kad Touch n Go melebihi 80 kali sebulan.

Pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya pada Isnin lalu, Teo berkata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng memaklumkan kepadanya bahawa kos itu ditanggung oleh syarikat konsesi lebuh raya sebagai memenuhi tanggung jawab sosial mereka.

Teo berkata jawapan bertulis daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diterima oleh Pua pula menyatakan kerajaan yang membiayai kos itu bagi mengurangkan beban pengguna lebuh raya.

“Lain kali menteri-menteri apabila menjawab, jawablah dengan baik. Jangan hujah sahaja…(cakap) lepas-lepas,” kata Pandikar Amin selepas sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan.

Pandikar Amin berkata ada kemungkinan Yong tidak sedar dan tidak berniat untuk memberikan fakta yang bertentangan mengenai perkara itu kerana tidak ada menteri yang sengaja bercakap bohong apabila menjawab berhubung sesuatu isu.

“Saya telah beritahu menteri macam itu (jawab soalan dengan baik) tapi kalau Serdang tanya (pihak) mana yang betul, mana yang tidak, manalah saya tahu,” katanya.

Terdahulu Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) mengemukakan usul bagi membahaskan isu royalti minyak kepada Kelantan tetapi ditolak oleh Pandikar Amin di dalam kamar kerana perlu memberi ruang bagi menyelesaikan Aturan Mesyuarat mengikut jadual seperti mana yang ditetapkan.

Beliau juga menolak usul oleh Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) bagi membahaskan kejadian tanah di Bukit Antarabangsa kerana tidak mematuhi prosedur. – Bernama

Penjualan rokok kurang 20 batang dilarang mulai 1 Jun

KUALA LUMPUR: Penjualan paket rokok yang mengandungi kurang daripada 20 batang adalah dilarang mulai 1 Jun tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata sejajar dengan keputusan itu, pihak syarikat rokok diberi masa tujuh bulan mulai sekarang hingga 31 Mei ini untuk menghabiskan stok paket rokok yang kurang daripada 20 batang rokok di pasaran.

“Kerajaan tidak akan melayan sebarang rayuan ke atas perkara ini dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan pengilangan dan penjualan paket rokok kurang dari 20 batang rokok mulai 1 Jun 2010,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan itu telah dipersetujui oleh semua syarikat rokok dan kerajaan berterima kasih di atas sokongan dan kerjasama syarikat terbabit.

“Larangan pengilangan dan penjualan rokok paket rokok yang mengandungi kurang dari 20 batang sebenarnya telahpun diwartakan pada 23 September 2004 melalui peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Bagaimanapun penguatkuasaan terhadap larangan tersebut telah ditangguhkan selepas kerajaan mempertimbangkan rayuan daripada syarikat-syarikat rokok,” katanya.

Liow berkata, sehubungan penguatkuasaan itu, sesiapa yang didapati melanggar peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Katanya, larangan itu juga selaras dengan saranan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Larangan penjualan paket rokok bungkusan kecil ini adalah bertujuan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan golongan kanak-kanak dan remaja untuk membeli dan memulakan tabiat merokok yang tidak sihat dan merugikan,” katanya. – Bernama/ Berita Harian