• KENYATAAN QARADHAWI

    "Wahai saudaraku, Allah adalah Tuhan sekelian alam seluruhnya, Tuhan orang Islam dan Tuhan orang Kristian. Surah terakhir di dalam Al-Quran ada menyebut : ((Katakanlah! (wahai Muhammad) Aku berlindung dengan Tuhan sekelian manusia, Yang Menguasai sekelian manusia!))..bukan Tuhan orang Islam sahaja atau Tuhan Arab sahaja, atau Menguasai Arab sahaja ….) Kemudian beliau(Al-Qardhawi) bertanya: Oleh itu kenapakah perkara ini menimbulkan kemarahan wahai orang-orang (Islam) Malaysia? - Kata Qaradhawi di masjid Umar bin Al-Khattab, Doha pada 22 Jan 2010 - Kenyataan Qaradhawi

Belanjawan 2012 Tidak Wibawa

MUKADIMAH
Tan Sri Yang Di Pertua

Izinkan saya merujuk kepada pembentangan “Bajet 2012” oleh PM selaku Menteri Kewangan pada 7 Oktober 2011 lalu.

Lazimnya Belanjawan dilakar dengan maksud memacu pertumbuhan ekonomi mampan serta menjamin kesateraan rakyat.

Namun setelah meneliti cadangan-cadangan yang dibentangkan terdapat kekurangan pertimbangan dasar dan program khusus.

Permasalahan pokok dan sebarang rencana ekonomi tidak terlepas dari isu tatakelola pentadbiran yang baik. Hambatan besar bagi mana-mana ekonomi termasuklah ekonomi kukuh sekalipun adalah soal keutamaan dan kewibawaan institusi.

Amartya Sen dalam bukunya The Idea of Justice ada menyebut, “Any theory of justice has to give an important place to the role of institutions, so that the choice of institutions cannot but be a central element in any plausible account of justice.” (Sebarang teori perihal Keadilan tidak dapat tidak mestilah memberi keutamaan kepada peranan institusi supaya institusi yang dipilih itu menjadi teras kepada maksud Keadilan tersebut. m/s 82)

Makanya saya berhasrat untuk mengulangi dalam Dewan Yang Mulia ini, usaha-usaha Reformasi Politik dan Institusi yang digarap Pakatan Rakyat seperti yang terkandung dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012. Antaranya adalah:

* Melaksanakan sepenuhnya janji-janji di dalam Buku Jingga termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, akta-akta bersabit media dan percetakan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Universiti dan Kolej Universiti;

* Membentangkan Akta Pemulihan Demokrasi seperti yang dicadangkan Pakatan Rakyat dalam tahun 2011 untuk memansuhkan semua peruntukan undang-undang yang bertentangan dengan amalan demokratik;

* Melaksanakan serta-merta semua tuntutan BERSIH2.0;

* Merombak Jabatan Perdana Menteri dengan menaiktaraf jabatan-jabatan berkaitan tata kelola dan pertanggungjawab nasional seperti SPR, SPRM, Biro Pengaduan Awam dan lain-lain supaya bertanggungjawab terus kepada Parlimen;

* Pengenalan laporan setengah tahun perbelanjaan dan prestasi kewangan negara yang dibentangkan ke Parlimen bersama-sama dengan laporan Ketua Audit Negara; dan

* Pembentukan tujuh Jawatankuasa Parlimen untuk membahaskan belanjawan di peringkat Jawatankuasa secara terperinci.

Suka saya mengingatkan Dewan bahawa sebarang usaha membaiki kedudukan ekonomi negara tidak akan berhasil jika tidak disertai oleh reformasi politik yang menyeluruh.

Sementara kedudukan ekonomi negara yang semakin goyah – bergelumang dengan masalah defisit yang kian meruncing, kelembapan ekonomi dizahirkan dalam bentuk kenaikan harga barang dan gaji rendah yang menekan rakyat. Kita tetap dijangkiti dengan keborosan, rasuah dan ketirisan.

Kita tidak mahu belanjawan yang baru dibentangkan minggu lepas, pada hari Jumaat 7 Oktober lalu seumpama yang dikritik al Quran, ayat 7, Surah al Ma’un:

Tan Sri Yang Di Pertua

Pembentangan Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 yang berlangsung pada 4 Oktober 2011, empat hari sebelum pembentangan belanjawan kerajaan memberi kesempatan kepada rakyat untuk menilai.

Mustahak untuk saya tegaskan, Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 pastinya mengambil pendekatan reformasi dasar untuk mengubah struktur ekonomi dan membaiki kepincangan sistem manakala belanjawan Barisan Nasional ternyata mengekalkan beberapa program baru yang dikitar semula tanpa kesediaan merombak struktur usang.

BAB 1: BELANJAWAN YANG TIADA WIBAWA

Perdana Menteri senang sekali memilih jalan yang paling beliau mahir dan gemari iaitu sekadar usaha penjenamaan semula dan kitar semula. Perdana Menteri kitar semula pelbagai program yang telah gagal, janji yang tidak terlaksana tetapi diberi nama baru dengan pelbagai program penjenamaan semula itu melibatkan perbelanjaan yang besar.

Perbelanjaan RM232.8 bilion yang diumumkan adalah berasaskan angka-angka unjuran yang tidak tepat dengan penambahan beban hutang rakyat dan negara.

Unjuran defisit pada angka 4.7% ini adalah tidak tepat dan tanpa wibawa kerana ia bergantung kepada pertumbuhan ekonomi tahun 2011 dan unjuran 2012, serta unjuran jumlah pendapatan negara dalam tahun 2012.

Unjuran pertumbuhan pada 5% – 6% bagi tahun 2012 perlu dibidas keras kerana ianya ternyata terlalu tinggi sedangkan analisa dari sumber-sumber lain menunjukkan pertumbuhan yang lebih rendah.

Berikut adalah unjuran pertumbuhan terpilih yang dibuat bagi tahun 2011 dan 2012:

Bank Dunia – 4.8% bagi tahun 2011 dan 5.7% bagi tahun 2012;
MIER – 5.2% bagi tahun 2011 dan 5.5% bagi tahun 2012;
RHB – 4.3% bagi tahun 2011 dan 4.5% bagi tahun 2012

Kesemua unjuran ini dibuat sebelum IMF memotong unjuran pertumbuhan dunia kepada 4% pada pertengahan September baru-baru ini; yang bermakna angka-angka terkini sudah tentu lebih rendah dari paras 5% bagi tahun 2011 dan 2012.

Unjuran yang lebih mutakhir dibuat oleh Bank Pembangunan Asia di dalam “Asian Development Outlook 2011” yang diterbitkan pada pertengahan September, mengambil kira risiko ketidaktentuan ekonomi global akibat krisis hutang yang dialami Amerika Syarikat dan Eropah serta kesan lanjutan dari peristiwa gempa bumi dan tsunami di Jepun.

Bank Pembangunan Asia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2011 sekadar 4.8% dan hanya menokok kepada 5.1% dalam tahun 2012; jauh berbeza dari angka yang terlalu optimistik yang digunakan Perdana Menteri di dalam Belanjawan 2012 iaitu pertumbuhan di antara 5% hingga 5.5% bagi tahun 2011 dan kekal pada 5% hingga 6% bagi tahun 2012.

Begitu juga dengan unjuran pendapatan sebanyak RM186.9 bilion. Berdasarkan unjuran pertumbuhan yang lebih perlahan, unjuran pendapatan mendedahkan niat tersirat Barisan Nasional untuk menuntut dividen yang tinggi dari PETRONAS.

Kadar pertumbuhan purata kutipan cukai langsung (tidak termasuk cukai petroluem) oleh kerajaan adalah 9.6% di antara tahun 2008 hingga 2011. Kadar pertumbuhan purata kutipan cukai tidak langsung bagi tempoh yang sama adalah lebih rendah, hanyalah sekitar 5.6% (Analisis pertumbuhan kutipan cukai oleh Kerajaan Malaysia – Belanjawan Pakatan Rakyat 2012).

Pada kadar pertumbuhan sebegini, anggaran kami menunjukkan jumlah pendapatan RM186.9 bilion hanya boleh dicapai sekiranya kerajaan meneruskan amalan mengenakan dividen tinggi sekitar RM30 bilion setiap tahun dari PETRONAS, sedangkan amalan tidak bertanggungjawab ini akan melemahkan keupayaan PETRONAS melabur semula keuntungannya untuk mencari rizab baru minyak dan gas di seluruh dunia.

Sebab itu, Pakatan Rakyat mengesyorkan supaya kerajaan mengurangkan lagi jumlah dividen yang dibayar oleh PETRONAS bagi tahun 2012 kepada RM26 bilion sahaja, seperti yang termaktub di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012. Jumlah yang lebih kecil ini akan mengajar kerajaan berjimat cermat dan mengamalkan disiplin fiskal untuk mengekang hutang negara.

Apa kesannya apabila kerajaan menggunakan unjuran-unjuran pertumbuhan ekonomi dan jumlah pendapatan yang terlalu optimistik dan tidak realistik?

Pertamanya, ia akan memburukkan lagi keadaan defisit negara kerana dakwaan Perdana Menteri bahawa belanjawan 2012 akan membawa defisit ke paras 4.7% dari KDNK adalah tidak benar, selain tidak mengambil kira kecenderungan Barisan Nasional berbelanja lebih dan menyeludup peruntukan baru melalui belanjawan tambahan di pertengahan tahun.

Keduanya, ia mengenepikan keperluan mendesak untuk mengamalkan disiplin fiskal dan pendekatan berbelanja wang rakyat dengan berhemah, pada kala ia sangat penting demi menjamin kelangsungan kewangan dan pertumbuhan sihat ekonomi negara.

Namun, kerajaan UMNO-Barisan Nasional jangan sangka rakyat mudah tertipu dengan hamburan data-data yang digunakan. Angka yang dipersembahkan kononnya untuk memberi gambaran bahawa keadaan defisit dan hutang dalam keadaan terkawal, sedangkan kita sedia maklum tabiat Barisan Nasional membentangkan belanjawan tambahan pada pertengahan tahun.

Tabiat seperti itu menzahirkan niat sebenar pentadbiran ini untuk membelanjakan dana awam sewenang-wenangnya, seperti yang berlaku pada tahun 2010 dan 2011.

Saya ingin mengambil masa yang pendek untuk memperincikan analisa peruntukan yang dibuat Perdana Menteri bagi belanjawan 2012. Di bawah Barisan Nasional, 78% dari keseluruhan peruntukan belanjawan 2012 digunakan bagi tujuan menguruskan perjalanan kerajaan; suatu jumlah yang sangat tinggi dan mengalihkan sumber kewangan negara dari bidang-bidang ekonomi yang mempunyai kesan gandaan. Jumlah ini juga terus meningkat saban tahun dan jika tidak dibendung, peruntukan belanjawan bagi tujuan pembangunan dan pelaburan dalam bidang ekonomi dan sosial akan semakin mengecil di masa-masa akan datang.

11 kementerian-kementerian utama diperuntukkan wang yang lebih tinggi bagi perbelanjaan mengurus bagi tahun 2012 sedangkan jumlah bagi tujuan pembangunan adalah lebih kecil. Saya ingin mempersoalkan apakah tiada langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengekang perbelanjaan operasi kementerian-kementerian yang semakin tidak terkawal ini?

Contoh-contoh terpilih yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:

Walaupun Perdana Menteri mengurangkan peruntukan dari Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM2.98 bilion, jumlah ini nampaknya diagihkan pula kepada beliau sendiri melalui Kementerian Kewangan yang peruntukan pembangunannya melonjak 208%.

Malah, perbelanjaan operasi di kedua-dua kementerian yang dipimpin Perdana Menteri akan melonjak sebanyak 12% di Jabatan Perdana Menteri dan 15% di Kementerian Kewangan; bertentangan dengan desakan rakyat agar Perdana Menteri mengurangkan pergantungan beliau kepada juru runding luar negara dan pakar media yang mahal dan mengenepikan pendapat pimpinan penjawat awam.

Perbelanjaan operasi di Kementerian Kerja Raya akan melonjak sebanyak 29%, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak 61% dan Kementerian Dalam Negeri sebanyak 25%. Peningkatan kos ini adalah sangat besar dan menimbulkan tanda tanya apakah ini peruntukan projek-projek kecil dan segera bagi menenangkan tuntutan kontraktor-kontraktor yang rapat dengan kerajaan di akar umbi?

Dewan juga perlu memberi perhatian kepada potongan peruntukan yang besar kepada Kementerian Pelajaran. Perbelanjaan operasi akan dipotong 3% sementara perbelanjaan pembangunan dipotong sebanyak 28%.

Sebab itu, rakyat tidak teruja dengan pengumuman Perdana Menteri bahawa yuran sekolah rendah dan menengah akan dihapuskan kerana jelas penghapusan ini akan dibiayai pula melalui potongan peruntukan yang lain. Keadaan ini tidak ubah seperti Belanjawan 2011 bila mana Perdana Menteri secara senyap-senyap memotong peruntukan operasi pendidikan sehingga bilangan hari di asrama dan peruntukan-peruntukan lain dikurangkan. Makanya, rakyat akan tetap menanggung kos pendidikan yang dibayar kepada pihak sekolah, sama ada melalui sumbangan PIBG atau pelbagai bayaran lain yang terpaksa dikenakan oleh pihak sekolah bagi menampung kos operasi.

Tan Sri Yang diPertua,

Di sebaliknya Pakatan Rakyat mengunjurkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 4% hingga 4.5% bagi tahun 2011 dan 2012. Jumlah pendapatan negara bagi tahun 2012 diunjurkan mencecah RM181.3 bilion. Berdasarkan angka-angka ini, sasaran defisit 4.4% bagi tahun 2012 adalah realistik dan mempunyai kesan besar kepada usaha negara mengekang hutang.

Justeru saya mencadangkan pada hari ini supaya Dewan meletakkan syarat sekiranya pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 kurang dari 5.5% dan suku pertama 2012 kurang dari 6%, maka Dewan akan bersidang semula untuk memotong belanjawan RM232.8 bilion yang dibentangkan pada 7 Oktober dan diunjurkan ke angka RM220 bilion seperti yang dibentangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012.

BAB 2: ASAS EKONOMI YANG MASIH RAPUH DALAM SUASANA EKONOMI GLOBAL TIDAK MENENTU

Perdana Menteri juga mewar-warkan seolah-olah ekonomi Malaysia sudah rancak semula dengan menyebut kejayaan menarik pelaburan asing (FDI) dalam tahun 2010 dan separuh tahun pertama 2011. Malangnya, beliau hanya menyebut prestasi Malaysia semata-mata tanpa perbandingan dengan aliran pelaburan sejagat atau prestasi-prestasi negara-negara pesaing di rantau ini.

Hakikatnya, prestasi pelaburan asing yang masuk ke Malaysia masih ketinggalan berbanding dengan negara-negara lain di rantau Asia Pasifik. Peningkatan enam kali ganda yang disebut oleh Perdana Menteri bagi tahun 2010 adalah kerana nilai pelaburan yang sangat rendah dalam tahun 2009, maka angkanya nampak lebih gah bila dibandingkan dengan asas yang sebegitu rendah.

Saya merujuk perhatian dewan kepada laporan “FDI Global Outlook Report” yang diterbitkan oleh Financial Times, edisi terbaru keluaran Mei 2011 sebagai rujukan yang lebih menyeluruh untuk menggambarkan prestasi pelaburan asing Malaysia.

Rujuk mukasurat 14 yang menyenaraikan perbandingan destinasi pelaburan terbaik di rantau Asia Pasifik bagi tahun 2010:

Senarai lima negara teratas berdasarkan jumlah projek pelaburan adalah Cina, India, Singapura, Australia dan Thailand. Malaysia tidak termasuk di dalam senarai.

Senarai lima negara teratas mendapat pelaburan berdasarkan jumlah pelaburan diketuai oleh China, India, Australia, Vietnam dan Singapura. Malaysia juga tidak termasuk di dalam senarai. Malah, jumlah pelaburan asing yang masuk ke Vietnam dalam adalah RM87 bilion dan Singapura sebanyak RM39 bilion, berbanding jumlah RM29 bilion yang diperolehi negara dalam tahun 2010.

Jika Malaysia mensasarkan pelaburan asing dalam industri berteknologi tinggi, kita semestinya ketinggalan jauh berbanding Singapura dan Australia.

Jika Malaysia ingin bersaing untuk mendapatkan pelaburan asing dalam bidang pembuatan dan perkilangan, kita ditewaskan pula oleh Vietnam dan Bangladesh.

Oleh itu, dewan perlu lebih berhati-hati dengan data-data yang dipersembahkan Perdana Menteri kerana ia mengenepikan gambaran keseluruhan kedudukan ekonomi negara.

Sebab itu juga agaknya, Perdana Menteri langsung tidak menyentuh mengenai keadaan hutang negara yang semakin meruncing.

Jumlah hutang negara yang telah mencecah RM437 bilion pada akhir Jun 2011 seperti angka rasmi Bank Negara Malaysia adalah paras tertinggi hutang negara dalam sejarah Malaysia.

Laporan Majlis Kewangan Negara 2010 mukasurat 120 mencatatkan pola keberhutangan awam negara di antara tahun 1970 hingga 2009. Perenggan dua merujuk kepada usaha berterusan untuk mengurangkan nisbah hutang kepada KDNK dalam tahun 90-an hingga mencapai paras terendah dalam sejarah iaitu 31.9% pada tahun 1997.

Menurut laporan itu lagi, saya petik: “.. paras terendah 31.9% pada tahun 1997 didorong oleh pemulihan ekonomi negara yang pantas, pelaksanaan dasar fiskal berhemat serta pengurusan hutang yang berkesan. Ini telah membolehkan Malaysia mencatat lebihan fiskal di antara tahun 1993 dan 1997..”

Laporan ini dikeluarkan oleh kementerian yang diketuai oleh Perdana Menteri sendiri, oleh itu wajarlah Perdana Menteri mengambil iktibar tentang peri pentingnya kaedah pengurusan hutang yang berkesan dalam menjamin kelangsungan kewangan negara.

Belanjawan 2012 malangnya dijangka akan mengabaikan beberapa garis panduan jumlah hutang yang digunapakai oleh negara selama ini.

Pertamanya, jumlah hutang negara akan terus meningkat. Jumlah terbitan hutang dalam tahun 2010 adalah RM64.7 bilion sementara jumlah hutang yang akan matang dalam tahun 2011 telah mencecah RM44.5 bilion, berbanding RM23.4 bilion tahun sebelumnya.

Kedua, pertambahan hutang negara yang mendadak ini bermakna jumlah peruntukan belanjawan setiap tahun yang digunakan untuk membayar faedah dan perkhidmatan hutang akan semakin menghampiri had panduan nisbah bayaran khidmat hutang kepada KDNK pada kadar purata 3.5% yang digunapakai selama ini.

Bagi tahun 2012, peruntukan bayaran khidmat hutang telah melonjak kepada RM20.5 bilion berbanding hanya RM12.8 bilion dalam tahun 2008. Kos hutang ini akan bernisbah sebanyak 2.3% berbanding KDNK dan pada kadar pertambahan hutang sebegini rupa, garis had nisbah 3.5% dari KDNK ini bakal dilepasi dalam tempoh masa lima tahun akan datang.

Tan Sri Yang diPertua,

Perdana Menteri juga menyandarkan angka pertumbuhan 5% – 6% bagi tahun 2012 kepada perbelanjaan rakyat yang kononnya akan merancakkan penggunaan domestik (domestic consumption).

Walaupun perbelanjaan domestik adalah penting untuk menampung pertumbuhan ekonomi negara dalam suasana global yang tidak menentu, sandaran kepada perbelanjaan rakyat untuk meransang pertumbuhan ekonomi perlu lebih realistik mengambil kira faktor harga barang meningkat dan gaji rakyat yang tersekat di takuk lama.

Sebab itu Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 mengambil keputusan memperkenalkan kembali cukai dan eksais ke atas barang-barang mewah seperti beg tangan, alat kosmetik, celana dalam dan lain-lain kerana ia tidak memberi manfaat kepada rakyat terbanyak sedangkan kos pelepasan cukainya ditanggung oleh kerajaan.

Makanya, kita wajar perihatin dengan kebanyakan rakyat Malaysia yang terbeban dengan jumlah hutang yang membimbangkan. Pada akhir tahun 2010, jumlah hutang isi rumah yang ditanggung rakyat Malaysia telah mencecah RM577 bilion bersamaan 77% dari KDNK negara. Nisbah jumlah hutang isi rumah kepada KDNK ini telah meningkat dua kali ganda semasa saya menjawat Menteri Kewangan iaitu 33% dalam tahun 1997, kepada 77% apabila Perdana Menteri mengemudi Kementerian Kewangan di akhir tahun 2010.

Pendapatan rakyat setiap bulan sebahagian besarnya dihabiskan untuk membayar hutang rumah kereta dan rumah.

Lantaran itu, rata-rata rakyat Malaysia masih berada dalam keadaan yang daif. Masih ada golongan pekerja yang diperlakukan seperti khadam dan dibayar gaji di bawah paras kemiskinan. 40% dari rakyat Malaysia tinggal di dalam isi rumah yang pendapatan bulanannya kurang dari RM1,500. Tiga perempat dari golongan ini adalah Melayu/Bumiputra yang kononnya dibela oleh UMNO-Barisan Nasional.

Kekayaan negara pula dipusatkan kepada segolongan kecil golongan kaya dan mahakaya. 50% kekayaan dan pendapatan yang dijana oleh ekonomi negara dibolot oleh golongan 20% terkaya, sedangkan golongan 40% terbawah tadi yang rata-ratanya Melayu/Bumiputra tidak ubah seperti melukut di tepi gantang yang hanya mendapat 15% dari kekayaan dan pendapatan yang dijana.

Manakala itu masih wujud fenomena ketidakseimbangan di antara keperluan tenaga mahir dan tuntutan industri, serta pergantungan kepada pekerja asing yang memberi kesan yang bukan sedikit kepada pasaran kerja. Ini menyebabkan aliran wang tunai keluar negara sebanyak RM22 bilion setahun sekaligus masih menjadi persoalan ekonomi mendesak yang perlukan penyelesaian segera.

Sebaliknya, Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri mengelak sepenuhnya dari menjawab persoalan kerangka asas ekonomi seperti yang saya perincikan tadi.

Ada perbezaan yang besar di antara perubahan dasar yang membawa impak ekonomi yang berkekalan dengan membaiki kerangka dan sistem ekonomi, berbanding dengan pengumuman-pengumuman pemberian peruntukan dan hadiah wang tunai bagi satu tahun sahaja seperti yang dibuat Perdana Menteri.

Oleh sebab itulah, Pakatan Rakyat mengambil pendekatan dasar untuk membaiki kerangka ekonomi negara.

Di antara tawaran Pakatan Rakyat yang sangat penting untuk membaiki struktur ekonomi negara adalah untuk memastikan dasar gaji minima terlaksana. Apa yang sangat ditakutkan kepada dasar gaji minima, sedangkan kajian Bank Dunia menunjukkan kadar RM1,100 seperti yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat mampu ditanggung oleh majikan dan ekonomi. Perdana Menteri seolah-olah lebih mengutamakan lobi taukeh-taukeh besar dan kroni mahakaya daripada keperluan jutaan rakyat yang sangat mengharapkan satu anjakan gaji yang menyeluruh meliputi semua 12 juta tenaga kerja di negara ini, bukannya gula-gula yang hanya memikat pekerja sektor awam tetapi mengenepikan kebajikan 90% tenaga kerja yang lain.

Oleh kerana pendekatan Belanjawan 2012 kerajaan UMNO-Barisan Nasional adalah penjenamaan semula yang pastinya akan melibatkan banyak peruntukan pengiklanan dan perunding, Dewan berhak tahu secara teperinci berapa yang telah diperuntukkan kepada firma-firma asing dan tempatan bagi tujuan pengiklanan dan putar belit (spin). Berapa juga jumlah kontrak bagi tujuan ini yang telah ditandatangani? (Bahagian pertama, bersambung)

Tinggalkan komen