• KENYATAAN QARADHAWI

    "Wahai saudaraku, Allah adalah Tuhan sekelian alam seluruhnya, Tuhan orang Islam dan Tuhan orang Kristian. Surah terakhir di dalam Al-Quran ada menyebut : ((Katakanlah! (wahai Muhammad) Aku berlindung dengan Tuhan sekelian manusia, Yang Menguasai sekelian manusia!))..bukan Tuhan orang Islam sahaja atau Tuhan Arab sahaja, atau Menguasai Arab sahaja ….) Kemudian beliau(Al-Qardhawi) bertanya: Oleh itu kenapakah perkara ini menimbulkan kemarahan wahai orang-orang (Islam) Malaysia? - Kata Qaradhawi di masjid Umar bin Al-Khattab, Doha pada 22 Jan 2010 - Kenyataan Qaradhawi

Anak Nik Aziz sokong Perpaduan Umno, PAS

KOTA BHARU: Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Aziz, semalam bersetuju sekiranya wujud perpaduan di antara PAS dengan UMNO serta menjelaskan pertemuan antara kepemimpinan kedua-dua parti sebelum ini memang sentiasa berlaku.

Beliau berkata, masalah pertemuan antara PAS dan UMNO menjadi sensitif kini sejak wujud pakatan pembangkang kerana boleh menyebabkan berlaku kekeliruan dalam pakatan berkenaan. “Masalah perjumpaan antara UMNO dan PAS ini berlaku sejak dulu lagi, semua orang sudah tahu. Hendak jumpa pemimpin UMNO hari ini dibolehkan kerana dalam Islam tidak ada larangan atau sekatan mengenai perkara itu. “Cuma yang dibimbangkan, pertemuan itu jangan sampai ke peringkat yang boleh membawa kekeliruan hubungan di antara parti dalam pakatan pembangkang.

“Sekiranya demi untuk kepentingan umat Islam, saya sokong sangat dan saya tetap menyokong apa yang pucuk kepemimpinan sokong,” katanya selepas majlis pelancaran Radix Fried Chicken (RFC) yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, di Bandar Baru Kubang Kerian, dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan pemimpin PAS dengan pemimpin UMNO sebelum ini termasuk perjumpaan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dengan pemimpin UMNO serta Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berjumpa dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Ditanya sama ada perlu atau tidak perpaduan antara UMNO dan PAS demi menyelamatkan umat Islam sekarang, Nik Abduh berkata, itu kena tanya Nik Aziz dan pemimpin tertinggi parti lain.
“Mengenai perkara itu (perpaduan antara UMNO dan PAS demi menyelamatkan umat Islam), itu kena tanya ayah saya (Nik Aziz),” katanya – Berita Harian 26 Julai 2010

Kritikal selepas latihan ala komado

Pelatih PTD alami jangkitan paru-paru serius

Foto Berita Harian

KLANG: Seorang pelatih Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami jangkitan paru-paru yang serius ketika menjalani latihan intensif ala komando di sebuah kem latihan di Banting, dekat sini. Norhashimah Wahid, 30, yang baru mengikuti latihan selama tiga setengah bulan itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, sejak empat hari lalu. Ibu kepada seorang anak itu, yang sebelum ini bekerja di sektor perbankan, mula menjalani latihan asas di situ sebagai syarat kelayakan untuk menjadi PTD.

Abang ipar Norhashimah, Zulyusri Zainal Abidin, 33, berkata mangsa pernah mengadu tidak sihat dan dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan ketika menjalani latihan tetapi hanya disahkan demam biasa sebelum kembali ke kem terbabit.

“Norhashimah pernah memberitahu tenaga pengajar yang beliau mahu pulang ke rumah untuk berehat tetapi dimaklumkan, jika enggan meneruskan latihan, beliau perlu menjalani semula latihan berkenaan selepas dua tahun,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di pekarangan bilik Unit Rawatan Rapi HTAR, di sini, semalam.

Zulyusri berkata, walaupun masih dalam keadaan lemah, adik iparnya itu dikatakan dipaksa menjalani latihan sama selepas bersetuju meneruskannya.
“Melihatkan keadaan Norhashimah yang lemah, beberapa rakannya mencadangkan beliau supaya berhenti atau mengambil cuti dan cadangan berkenaan dipersetujuinya.

“Bagaimanapun, seorang tenaga pengajar datang ke tempat Norhashimah sebelum memaksanya kembali meneruskan latihan.

“Ketika Norhashimah mahu mengambil sehelai jaket untuk mengurangkan kesan demam, tenaga pengajar terbabit merampas jaket berkenaan dan menyuruhnya terjun ke dalam sebuah parit berlumpur,” katanya.

Zulyusri berkata, selepas beberapa hari, keadaan Norhashimah menjadi semakin lemah serta tercungap-cungap sebelum beberapa rakan pelatih membawanya menemui tenaga pengajar di situ supaya dihantar menjalani rawatan di Hospital Banting (HB).

“Norhashimah hanya ditempatkan di wad HB selama sehari dan pernah memohon pihak kem supaya memaklumkan keadaan dirinya kepada keluarga tetapi tidak diendahkan, sebaliknya tiba semula di kem itu, beliau diarah menjalani latihan walaupun masih lemah.

“Adik ipar saya kemudian jatuh pengsan selepas keadaannya bertambah teruk. Tenaga pengajar kemudian membawanya menjalani rawatan di HB sebelum dipindahkan ke HTAR. Beliau kemudian disahkan mengalami jangkitan paru-paru berair (pneumonia) yang menyebabkannya sukar bernafas,” katanya.

Zulyusri berkata, keluarga Norhashimah berhasrat membuat laporan polis mengenai dakwaan pihak pengajar dan pengurusan kem terbabit yang didakwa gagal menjaga kebajikan pelatih dan berkemungkinan menyaman pihak terbabit jika dakwaan itu benar. – Berita Harian 31 Mei 2010

Sokongan Malaysia kepada Palestin tidak berubah

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus menyuarakan sokongan terhadap Palestin walaupun isu Palestin tidak mendapat perhatian negara besar, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata, pendirian itu memang jelas dan tidak berubah, dan Malaysia tidak gentar untuk menyuarakan pandangan itu di mana saja termasuk di forum negara Islam mahupun persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sebagai negara Islam yang kecil, suara kita sentiasa berkumandang. Sama ada ia akan didengar oleh kuasa besar, itu terpulang tetapi kita sememangnya tidak gentar dan gerun dalam mengemukakan pendapat sama ada di forum-forum negara Islam atau PBB. Kita sentiasa suarakan apa yang perlu disuarakan, termasuk isu di Palestin.

“Sokongan Malaysia terhadap perjuangan Palestin bukannya secara sembunyi-sembunyi. Kita memang telah lama mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat tiga Ahli Parlimen Palestin di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Delegasi yang diketuai Dr Salem A Salamah, itu disertai Ismail AM Alashqar dan Mushir OK Almassri.

Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Presiden Pas Nasharuddin Mat Isa, Naib Presidennya, Salahuddin Ayub, serta Ahli Parlimen Shah Alam (Pas) Khalid Samad, Ahli Parlimen Kuala Krai (Pas) Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Parlimen Tumpat (Pas), Datuk Kamarudin Jaafar.

Pandikar Amin berkata, pada pertemuan kira-kira 40 minit itu, wakil Parlimen Palestin turut mencadangkan penubuhan kumpulan persahabatan antara Ahli Parlimen Palestin dan Malaysia bagi berkongsi pandangan dan maklumat tentang perkembangan kedua-dua negara.

Katanya, perkara itu (persahabatan) sememangnya sudah menjadi dasar Malaysia dan sebagai bukti, pada tahun lalu Parlimen Malaysia telah sebulat suara menyokong usul mengutuk serangan dan pencerobohan Israel ke atas Palestin.

“Sebenarnya itu memang dasar kita. Sejak dulu lagi kita mengiktiraf Palestin dan ia tidak pernah berubah,” katanya. – Bernama

Vaksin untuk H1N1 selamat digunakan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan bahawa vaksin bagi merawat dan mencegah penyakit Influenza A (H1N1) adalah selamat digunakan walaupun mempunyai kesan sampingan seperti demam, ruam dan rasa sakit di bahagian badan yang disuntik.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata kes berhubung kesan sampingan seperti yang dilaporkan berlaku di Kanada baru-baru ini adalah kes terpencil.

“Rakyat tidak perlu bimbang kerana vaksin yang digunakan selamat walaupun beberapa insiden di Kanada menunjukkan kesan sampingan seperti demam, ruam dan kesakitan pada tempat yang disuntik.

“Ia selamat dan mampu memberi tahap pertahanan kepada golongan barisan hadapan dan berisiko tinggi untuk menghadapi pandemik Influenza A(H1N1).

“Kerajaan juga yakin pemberian vaksin ini akan mampu mengawal dan memastikan golongan barisan hadapan bersedia untuk menghadapi wabak tersebut sekiranya berlaku gelombang kedua penularan virus A(H1N1),” katanya menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md Ramli (Pas-Kuala Krai) pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menanyakan tahap keselamatan bagi pengambilan vaksin untuk virus Influenza A(H1N1) berikutan tempoh singkat untuk menghasilkan vaksin berkenaan selain tiada ujian dilakukan ke atas manusia.

Rosnah juga memberitahu bahawa jumlah kematian akibat H1N1 kekal seramai 77 orang sejak penyakit itu dikesan pada April lalu.

Katanya, kematian akibat H1N1 sejak 15 September lalu menunjukkan trend penurunan ketara berbanding Ogos dan awal September lalu.

Terdahulu, beliau menjawab soalan Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit) mengenai trend dan statistik kematian setiap tahun bagi lima tahun lalu yang disebabkan beberapa penyakit utama seperti denggi dan penyakit jantung berbanding kematian yang disebabkan kemalangan jalan raya serta bencana alam.

Aaron juga mahu tahu langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.

Rosnah berkata, kematian akibat penyakit berjangkit seperti denggi, HIV dan Aids menunjukkan trend penurunan dalam tempoh lima tahun lalu.

Beliau berkata, perangkaan menunjukkan kematian akibat penyakit denggi sehingga 28 Nov lalu adalah seramai 78 orang berbanding 102 pada 2005, manakala 600 kematian akibat HIV dilaporkan bagi tempoh sama tahun ini berbanding 1,231 pada 2005.

Bagaimanapun, beliau berkata kematian akibat penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung dan kemalangan menunjukkan peningkatan.

Bagi kes penyakit jantung, 7,597 kematian direkodkan pada tahun lepas berbanding 5,549 tahun 2005, manakala terdapat 6,282 kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2007 berbanding 6,223 kematian pada tahun 2004. – Bernama

Bawa saja isu royalti minyak ke mahkamah: Nazri

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pas Kelantan dicabar membawa kes tuntutan royalti minyak ke mahkamah daripada berbuat sesuatu yang bersifat retorik dan tidak boleh membawa perubahan kepada status quo.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata membawa isu tuntutan itu ke mahkamah adalah langkah paling tepat berbanding usaha retorik iaitu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berdoa yang bukan-bukan terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Pusat.

“Saya pun hairan mengapa mereka tak bawa kerajaan pusat ke mahkamah…daripada mereka buat benda-benda yang tidak boleh datangkan apa-apa perubahan kepada status quo, baik pergi ke mahkamah terus.

“Daripada berdoa yang bukan-bukan…minta diturunkan bala ke atas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) yang saya kira itu kerja bodoh. Baik terus bawa ke mahkamah kerana itu lebih dapat menyelesaikan masalah dan bukannya retorik sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri Kelantan yang dilihat lebih berunsurkan retorik berhubung isu tuntutan royati minyak selepas melancarkan Ensiklopedia Hansard Parlimen terbitan Yayasan Pembangunan Buku Negara dan Penerbitan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Ensiklopedia fasa pertama yang mengandungi perbahasan pelbagai isu sejak 1995 sehingga 2007 itu mempunyai 138 jilid dan dijual dengan harga RM68,000 manakala fasa kedua merangkumi tahun 1959 hingga 1994 akan diterbitkan pertengahan tahun depan.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas sebelum ini dilaporkan akan mendoakan supaya pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab tidak memberi royalti minyak supaya “pecah perut” sebagai reaksi terhadap keengganan Kerajaan Persekutuan menyerahkan bayaran royalti minyak kepada Kelantan, sebaliknya sekadar memberikan wang ihsan.

Pada 4 November lalu, Najib mengumumkan pembayaran wang ihsan daripada kerajaan pusat kepada Kelantan yang bermula tahun depan.

Ditanya apakah kerajaan yakin akan memenangi kes tersebut sekiranya dibawa ke mahkamah, Nazri yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata, kerajaan yakin keputusan untuk tidak memberikan royalti adalah menepati kehendak undang-undang tempatan mahupun antarabangsa dan untuk itu beliau yakin kemenangan akan memihak kepada kerajaan.

Beliau berkata, dakwaan pemimpin negeri Kelantan dan pembangkang bahawa hak royalti minyak Kelantan dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah sama sekali tidak benar kerana Perlembagaan hanya menyatakan royalti untuk negeri Sabah dan Sarawak sahaja.

“Sabah dan Sarawak sebelum ini mendapat 100 peratus daripada hasil minyak yang dikeluarkan dari dalam perairan mereka. Itu sebelum mereka masuk Malaysia (penubuhan Malaysia). Tetapi selepas menyertai Malaysia, dua negeri itu terpaksa korbankan 95 peratus hasil minyak mereka.

“Kita kena hargai pengorbanan Sabah dan Sarawak. Sebab tu kepada dia, kita (kerajaan) kata royalti. Kita perlu hargai pengorbanan yang dibuat ini dengan menjamin hak royalti minyak sebanyak lima peratus kepada Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan.

“Tapi bagi negeri-negeri di Semenanjung, tidak ada minyak ditemui sebelum kita mencapai kemerdekaan pada 1957. Jadi hormatlah pengorbanan mereka,” katanya.

Berdasarkan faktor tersebut Nazri berkata, beliau cukup yakin yang mahkamah tidak akan sama sekali memihak kepada kerajaan Kelantan walaupun kes ini dibawa ke mahkamah antarabangsa.

Katanya, setiap negara berdaulat hanya diberi 12 batu nautika sebagai perairan wilayah.

“Justeru, apa hak kerajaan negeri untuk menuntut lebih daripada 12 batu nautika,” katanya.
Teruskan membaca

Kerajaan tiada hasrat mansuhkan AP gula, beras

KUALA LUMPUR: Pemansuhan permit import (AP) gula dan beras akan mengakibatkan harga barangan pengguna itu terdedah kepada spekulasi dan fenomena turun naik harga di pasaran antarabangsa, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan, berkata sehubungan itu, kerajaan tidak bercadang untuk menghapuskan sistem pemberian AP bagi barangan keperluan berkenaan pada masa ini.

“Bagaimanapun, kerajaan akan terus memantau dan bersedia mengkaji dasar dan pelaksanaan sistem sedia ada sekiranya ia mampu memberi lebih manfaat kepada rakyat untuk jangka masa panjang,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kassim (BN-Arau).

Sagan berkata kerajaan bertanggungjawab memastikan harga barangan pengguna seperti gula, beras dan tepung sentiasa berada pada paras yang munasabah dan tidak membebankan pengguna.

“Sistem pengimportan barangan keperluan pada masa ini tidak boleh dilihat sebagai monopoli untuk menguntungkan pihak-pihak tertentu semata-mata kerana kerajaan mempunyai mekanisme untuk campur tangan jika terdapat unsur penindasan terhadap pengguna.

“Polisi semasa sebenarnya bertujuan memastikan kerajaan mempunyai kawalan terhadap bekalan dan harga barangan berkenaan, selain menggalakkan aktiviti menapis gula mentah yang mempunyai nilai tambah,” katanya.

Sagan berkata pada masa ini, AP untuk mengimport gula mentah hanya dikeluarkan kepada empat syarikat pengilang yang menjalankan aktiviti menapis gula mentah.

“Bagi memastikan bekalan gula mentah dapat diperoleh dengan harga yang rendah, syarikat ini telah menandatangani Kontrak Jangka Panjang (LTC) daripada pembekal-pembekal gula mentah di luar negara,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, penggunaan kapasiti bagi syarikat terbabit adalah sekitar 60 hingga 65 peratus setahun daripada ketidak upayaan sebenar.

Katanya, jika pengimportan dibuka, ia akan menjejaskan pencapaian kapasiti pengeluaran syarikat-syarikat tempatan.

“Harga gula di Malaysia adalah amat rendah jika dibandingkan dengan harga gula di negara-negara lain, khususnya jika dibandingkan dengan harga gula di negara jiran.

“Sekiranya pengimportan gula tidak dikawal oleh kerajaan, adalah dikhuatiri bahawa pengimport tidak akan mengimport gula ketika harga tinggi di pasaran antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata kekurangan dan ketidak tentuan bekalan gula di pasaran tempatan akan memberi masalah kepada sektor industri pemprosesan makanan, pengusaha restoran dan kedai makan serta membebankan rakyat sebagai pengguna akhir. – Bernama

Speaker minta Menteri, Timbalan Menteri jawab soalan dengan baik

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini meminta Menteri dan Timbalan Menteri agar menjawab soalan dengan baik supaya tidak menimbulkan kekeliruan.

Perkara itu dibangkitkan apabila Teo Nie Ching (DAP-Serdang) yang mempersoalkan jawapan siapa yang boleh dipercayai apabila beliau dan Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) menerima jawapan berbeza mengenai sama ada kerajaan atau syarikat konsesi yang membayar diskaun tol 20 peratus kepada pengguna lebuh raya yang menggunakan kad Touch n Go melebihi 80 kali sebulan.

Pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya pada Isnin lalu, Teo berkata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng memaklumkan kepadanya bahawa kos itu ditanggung oleh syarikat konsesi lebuh raya sebagai memenuhi tanggung jawab sosial mereka.

Teo berkata jawapan bertulis daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang diterima oleh Pua pula menyatakan kerajaan yang membiayai kos itu bagi mengurangkan beban pengguna lebuh raya.

“Lain kali menteri-menteri apabila menjawab, jawablah dengan baik. Jangan hujah sahaja…(cakap) lepas-lepas,” kata Pandikar Amin selepas sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan.

Pandikar Amin berkata ada kemungkinan Yong tidak sedar dan tidak berniat untuk memberikan fakta yang bertentangan mengenai perkara itu kerana tidak ada menteri yang sengaja bercakap bohong apabila menjawab berhubung sesuatu isu.

“Saya telah beritahu menteri macam itu (jawab soalan dengan baik) tapi kalau Serdang tanya (pihak) mana yang betul, mana yang tidak, manalah saya tahu,” katanya.

Terdahulu Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) mengemukakan usul bagi membahaskan isu royalti minyak kepada Kelantan tetapi ditolak oleh Pandikar Amin di dalam kamar kerana perlu memberi ruang bagi menyelesaikan Aturan Mesyuarat mengikut jadual seperti mana yang ditetapkan.

Beliau juga menolak usul oleh Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) bagi membahaskan kejadian tanah di Bukit Antarabangsa kerana tidak mematuhi prosedur. – Bernama

Penjualan rokok kurang 20 batang dilarang mulai 1 Jun

KUALA LUMPUR: Penjualan paket rokok yang mengandungi kurang daripada 20 batang adalah dilarang mulai 1 Jun tahun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata sejajar dengan keputusan itu, pihak syarikat rokok diberi masa tujuh bulan mulai sekarang hingga 31 Mei ini untuk menghabiskan stok paket rokok yang kurang daripada 20 batang rokok di pasaran.

“Kerajaan tidak akan melayan sebarang rayuan ke atas perkara ini dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan pengilangan dan penjualan paket rokok kurang dari 20 batang rokok mulai 1 Jun 2010,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan itu telah dipersetujui oleh semua syarikat rokok dan kerajaan berterima kasih di atas sokongan dan kerjasama syarikat terbabit.

“Larangan pengilangan dan penjualan rokok paket rokok yang mengandungi kurang dari 20 batang sebenarnya telahpun diwartakan pada 23 September 2004 melalui peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

“Bagaimanapun penguatkuasaan terhadap larangan tersebut telah ditangguhkan selepas kerajaan mempertimbangkan rayuan daripada syarikat-syarikat rokok,” katanya.

Liow berkata, sehubungan penguatkuasaan itu, sesiapa yang didapati melanggar peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Katanya, larangan itu juga selaras dengan saranan Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Larangan penjualan paket rokok bungkusan kecil ini adalah bertujuan mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan golongan kanak-kanak dan remaja untuk membeli dan memulakan tabiat merokok yang tidak sihat dan merugikan,” katanya. – Bernama/ Berita Harian

SPRM siasat isu pindah milik tanah di Pandamaran

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibabitkan bagi menyiasat isu pemindahan hak milik tanah di Kampung Jalan Papan dan Kampung Bukit Kerayong, Pandamaran, Klang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata hasil perbincangannya dengan jawatankuasa penduduk dari kedua-dua kampung itu, beliau mendapati terdapat unsur penyalahgunaan kuasa dalam proses perpindahan hak milik tanah daripada penduduk kepada pemaju.

Beliau berkata, wakil penduduk kampung berkenaan juga telah mengemukakan laporan kepada SPRM pada 2 September lalu, namun sehingga kini mereka tidak dimaklumkan mengenai perkembangan kes itu.

“Dengan itu saya sebagai menteri yang bertanggungjawab secara langsung dengan SPRM akan menghubungi Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed supaya mengambil tindakan, hasil daripada laporan yang telah dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum daripada kedua-dua jawatankuasa penduduk kampung itu di lobi Parlimen di sini hari ini.

Isu tanah di Kampung Jalan Papan tercetus pada tahun 1997 apabila enam lot tanah di Pandamaran termasuk tanah kedua-dua kampung tersebut telah diberikan kepada TPPT Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik Bank Negara, untuk memulih projek terbengkalai.

Pada 2003, Majlis Perbandaran Klang (MPK) memberi notis kepada penduduk di situ supaya mengosongkan rumah masing-masing dan berpindah ke pangsapuri kos rendah yang dibina oleh TPPT atau pemaju lain dengan diberikan wang pampasan sebanyak RM7,000 kepada mereka yang setuju berpindah.

Kebanyakan penduduk tidak berpuas hati dengan tawaran itu dan mencadangkan TPPT membina rumah yang harganya di bawah RM100,000 kerana menurut mereka, sejak menghuni kawasan itu 70 tahun lalu, Pejabat Tanah telah memberi Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada sebahagian penduduk, sehinggalah TOL itu dibatalkan tanpa alasan pada tahun 1990.

Isu itu memuncak apabila MPK pada 2004 bertindak merobohkan rumah di kedua-dua kampung itu dengan menggunakan Ordinan Darurat, dan ini memaksa jawatankuasa penduduk memohon satu injunksi mahkamah bagi menghentikan kerja merobohkan itu, selain turut mencadangkan TPPT menggunakan kontraktor pilihan jawatankuasa penduduk kampung yang dipercayai boleh memberi tawaran yang lebih baik, iaitu rumah teres.

Bagaimanapun, pada 2007, TPPT melantik Melati Ehsan Development Sdn Bhd bagi pembangunan projek tersebut tetapi syarikat itu hanya akan membina 107 buah rumah teres satu setengah tingkat di bawah harga RM100,000 dengan hanya 51 buah rumah akan diberi kepada pembeli daripada senarai jawatankuasa penduduk.

Mohamed Nazri berkata, TPPT sebagai anak syarikat Bank Negara secara jelas telah melanggar syarat perjanjian yang dipersetujui dengan kerajaan negeri Selangor, dengan membenarkan projek itu diberikan kepada Melati Ehsan, sedangkan perjanjian berkenaan jelas menyatakan sebuah anak syarikat Bank Negara tidak boleh mengadakan satu projek yang mendatangkan keuntungan melainkan untuk memastikan perumahan dibuat untuk membantu masyarakat miskin.

Beliau juga memberi jaminan akan membawa perkara tersebut untuk perhatian Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. – Bernama/ Berita Harian

PAC diminta siasat pembelian ‘tren besi buruk’

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu pembelian empat tren Diesel Multiple Unit (DMU) yang dianggap lapuk dengan harga RM30 juta bagi mengesan individu yang melakukan penyelewengan dalam urusan berkenaan.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) berkata, pembelian DMU terpakai dari Sepanyol berusia 20 tahun yang disifatkan sebagai kereta api besi buruk itu, tidak masuk akal kerana membabitkan kos sangat tinggi.

Malah, katanya, siasatan wajar dilakukan di Argentina dan Costa Rica jika perlu kerana negara terbabit turut membeli kereta api sama dengan harga hanya RM10 juta.

“Pembelian DMU dari Sepanyol berharga RM30 juta tidak masuk akal kerana Argentina dan Costa Rica turut membelinya dengan kos RM10 juta.

“Jadi, PAC dan SPRM perlu menyiasat kes ini dan jika perlu pergi ke Sepanyol, Argentina dan Costa Rica untuk mendapatkan maklumat lanjut, kita galakkan.

“Ini penting kerana kita tidak mahu penyelewengan dilakukan orang tertentu…saya tidak tuduh sesiapa, tetapi siasatan perlu demi kepentingan negara dan jika ada yang menyeleweng, kita ada undang-undang (untuk diambil tindakan),” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat semalam.

Cadangan Mohamad itu disokong Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang menganggap pembelian keretapi lapuk itu sebagai tidak menghargai nyawa rakyat Malaysia.

Beliau berkata, isu pembelian DMU itu menjadi topik perbualan rakyat yang mempersoalkan sama ada kerajaan boleh memberi jaminan keselamatan terhadap khidmat keretapi lapuk itu dan rasional terhadap pembeliannya membabitkan kos tinggi.

“Pembelian DMU itu menunjukkan seolah-olah nyawa rakyat Malaysia tidak berharga. Rakyat ingin tahu kenapa beli besi buruk dan apa jaminan tidak berlaku kejadian tidak diingini apabila keretapi itu digunakan kelak.

“Jadi, saya minta PAC menyiasat segera perkara ini kerana jika kes projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) boleh siasat, kenapa ini tidak boleh,” katanya.

Bung Moktar berkata, laporan hasil siasatan perlu dibentang kerana ia membabitkan kepentingan awam, malah pembelian DMU itu juga tidak dipersetujui Lembaga Pengarah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Saya ingin tahu siapakah manusia yang paling berkuasa membuat keputusan pembelian itu…adakah menteri atau pegawai dan jika terbabit, mereka perlu diadili di mahkamah dengan segera kerana ia membabitkan kepentingan awam,” katanya.

Sementara itu, ketidakhadiran Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, di Dewan Rakyat untuk mendengar perbahasan membabitkan kementeriannya, dikritik ramai Ahli Parlimen.

Mohamad ketika menyentuh perkara itu berkata, Ong sepatutnya mendengar sendiri isu dibangkitkan dan kegagalannya hadir menunjukkan beliau tidak bertanggungjawab.
Teruskan membaca